utama

Luahan rindu mama...

Oleh Mohd Rizal Abdullah

“Saya suka mama.” Itu antara perkataan tertulis di luar dinding rumah usang dihuni empat beradik di Kampung Wireless, Miri yang diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri, semalam.

Kisah empat beradik berusia antara tiga hingga 10 tahun itu, masing-masing tiga perempuan dan seorang lelaki, menjadi tular di laman sosial sejak semalam selepas didakwa ditinggalkan bapa mereka selama tiga hari tanpa makan dan minum.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan JKM melalui Facebook (FB) agensi berkenaan sambil memaklumkan bapa kanak-kanak itu terpaksa meninggalkan anaknya kerana keluar bekerja.

“JKM sudah mengambil tindakan. Terima kasih di atas keprihatinan masyarakat sehingga bantuan dapat disalurkan kepada keempat-empat beradik berkenaan.

“Semua kini dalam jagaan saudara mereka,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut JKM, ibu kepada kanak-kanak terbabit tidak tinggal bersama kerana melarikan diri namun agensi terbabit tidak dapat memastikan punca sebenarnya.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit dan bapanya berusia lingkungan 40-an menghuni rumah berkenaan sejak setahun lalu.

Kanak-kanak berkenaan yang tidak lagi bersekolah didakwa ditinggalkan dengan keadaan pintu rumah dikunci dari luar apabila bapanya keluar bekerja.

Perkara itu disedari orang awam yang melihat kanak-kanak terbabit mengintai dari celahan dinding rumah yang terkopek sebelum orang awam menghubungi polis berikutan simpati dengan nasib kanak-kanak itu.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 4:04pm
d