utama

'Maafkan saya rahsiakan nikah gantung'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Bienda, mendedahkan terpaksa 'nikah gantung' dan merahsiakan tarikh serta butiran pernikahan selepas lapan tahun berkahwin.

Bienda atau Nor Razlinda Razli, 33, berkata tindakan itu dibuat kerana tidak mahu mengundang spekulasi pelbagai pihak.

Bienda dan suaminya, Kamarul Zariman Abdul Rahman bernikah pada 10 Oktober 2009 dan melangsungkan majlis persandingan setahun kemudian.

"Saya terpaksa merahsiakan perkara ini kerana tidak mahu menyusahkan keluarga. Jadi untuk majlis resepi saya guna duit simpanan sendiri. Sebab itu saya dahulukan apa yang wajib dan tak mahu membazir kerana keutamaan saya ketika itu adalah untuk membeli rumah.

"Kalau ketika itu saya beritahu kami 'nikah gantung' sebab nak simpan duit. Pasti perkara ini akan mengundang pelbagai persoalan memandangkan saya seorang selebriti," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Bienda, majlis pernikahan mereka berlangsung di masjid bersebelahan rumah ibunya di Gombak dan bukan di Selatan Thailand seperti dihebahkan.

"Kelakar apabila ada pihak cakap saya terpaksa rahsiakan pernikahan sebab kahwin lari di Thailand. Sedangkan saya nikah di masjid sebelah rumah ibu di Gombak," katanya.

Dalam pada itu, Bienda yang dilantik menjadi wajah koleksi Aidilfitri, Carrisa memohon maaf kepada mana-mana pihak yang selama ini terasa hati dengan tindakannya itu.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak yang selama ini tertanya-tanya bilakah tarikh pernikahan kami.

"Bagaimanapun selain keluarga terdekat, ada juga media yang rapat dengan saya tahu cerita sebenar. Mereka faham dan menghormati pendirian saya," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video Jaga Hati, semalam.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan berusia enam dan empat tahun.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 6:44pm
d