utama

Percaturan Wani menjadi

Oleh Najiy Jefri

Selepas single Menahan Rindu dan Rintihan Rindu mencatat kejayaan manis, Wany Hasrita kini tampil dengan lagu bergenre irama Malaysia berjudul Ewah Ewah.

Siapa sangka percaturan gadis berusia 26 tahun ini menjadi apabila lagu ciptaan Pak Ngah itu pantas merajai jiwa setiap pendengar.

Menurut Wany, barangkali ramai yang tidak tahu dia menggemari irama itu.

Malah, dia juga jatuh cinta dengan dunia nyanyian kerana lagu irama tradisional turut didendang bintang pujaannya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cindai.

“Ketika mula memegang mikrofon pada usia tujuh tahun, lagu pertama saya nyanyikan ialah Cindai. Selepas lagu itu, saya jatuh hati pula dengan sebuah lagi lagu nyanyian Siti iaitu Nirmala.

“Saya belajar menyanyi menerusi lagu irama tradisional kerana minat lebih kepada genre itu. Sebab itulah apabila ada orang mengatakan saya bersuara kampung, saya tidak kisah kerana semua lagu saya pelajari adalah daripada irama Melayu,” katanya ketika ditemui pada majlis ulang tahun aplikasi digital Ais Kacang di Publika, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wany berkata, dia bersyukur dan gembira apabila video muzik Ewah Ewah sudah mencecah 2.2 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 4 Mac lalu.

“Alhamdulillah, semakin hari jumlah tontonan semakin meningkat. Ia membuktikan masih ada meminati lagu bergenre sebegini. Karya Pak Ngah juga masih mendapat tempat di hati pendengar,”katanya.

Di sebalik kejayaan lagu Ewah-Ewah, Wany tidak terlepas daripada kecaman ‘mulut jahat’ netizen yang mengatakan dia seolah-olah meniru Siti dan Siti Nordiana yang turut membawakan lagu irama tradisional pada awal pembabitan mereka.

“Saya menyanyikan lagu itu kerana minat. Tiada sedikit pun niat untuk meniru sesiapa. Lagipun, saya mahu irama ini tidak tenggelam begitu saja.

“Sebenarnya banyak lagi lagu tradisional yang sedap didengar, tetapi tidak diketahui ramai. Saya pula bersyukur kerana memiliki ruang dapat mengeluarkan lagu sebegini.

“Jadi, saya melihat usaha ini juga secara tak langsung memberi dorongan kepada penyanyi irama tradisional lain untuk tampil ke depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wany buat pertama kalinya tampil sebagai pengacara dalam sebuah program sempena Ramadan nanti.

“Saya akan menjadi hos program Singgah Sahur. Namun, saya bukanlah berseorangan tetapi ditemani Issey, Shuk dan Dayah Bakar.

“Gementar juga rasanya menjadi pengacara buat kali pertama, tetapi apabila difikirkan Singgah Sahur program santai, saya rasa boleh melakukannya. Lagipun, saya ditemani mereka yang berpengalaman,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 3:04am
d