utama

'Lima sen pun tak dapat' - Herman Tino

Oleh Nor Akmar Samudin

DUA artis, Herman Tino dan Dayangku Intan Tengku Abdul Hamid yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, mengesahkan tidak akan kembali membuat 'pertaruhan' pada pilihan raya ini.

Anak jati Banting, Herman, 63, mengakui enggan bertanding menentang mana-mana parti pada PRU-14 atau membuat kacau dengan bertanding sebagai calon bebas pada saat akhir kerana marahkan segelintir individu.

Mengimbas kembali 'kemarahannya’ pada PRU-13, Herman berkata, dia hanya mengambil masa kurang 12 jam sahaja untuk membuat keputusan bertanding pada PRU-13 dengan mendapatkan tajaan daripada 15 rakan artis yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam politik.

"Kali ini, walaupun ada demokrasi (kebebasan), saya berharap untuk tidak buat pasal. Saya nak usap dan pujuk hati saya supaya jangan buat hal dan cari pasal.

"Lebih baik saya menyanyi menghiburkan mereka yang menang dan mereka yang kalah.

"Walaupun saya sayang parti Tan Sri Noh Omar (UMNO) tetapi atas isu yang timbul pada pilihan raya lalu, secara automatik keahlian saya dalam UMNO dilucutkan. Saya geram, saya masuk (bertanding) sebagai calon Bebas.

"Walau dipecat keahlian, saya sebenarnya tetap sayangkan parti (UMNO)," katanya menerusi SMS.

Herman mendakwa beliau turut menerima 'asakan' daripada pelbagai pihak yang mendesak beliau kembali bertanding pada PRU-14.

"Saya tidak akan bertanding tetapi akan keluar mengundi seperti orang lain. Saya harap orang di Selangor jangan dengar berita palsu, telinga mesti mendengar perkara yang betul. Mesti bertanya, pandang, dengar dan faham," katanya.

Herman mengulangi kenyataannya bahawa beliau bebas untuk menyokong mana-mana parti dan tidak boleh dibeli dengan wang.

"Cuma kalau saya menyanyi, tolonglah bayar harga yang patut. Saya anak Selangor, bukan mudah parti Tan Sri Noh Omar nak menang tetapi berjuanglah kerana kita kalah yang patut menang, bukan kalah memanjang.

"Saya tidak pernah mendapat lima sen pun menyanyi ketika pemerintahan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali). Paling tidak, Tan Sri Noh Omar dan kawan-kawannya bayar saya menyanyi, walaupun saya pernah 'lawannya'," katanya.

Sementara itu, Dayangku Intan Tengku Abdul Hamid, 51, turut serik untuk berpolitik pada 'ibu segala PRU' dan memutuskan tidak aktif berpolitik bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

"Buat masa ini saya terpaksa tolak politik ke tepi dan beri perhatian pada keluarga kerana anak ketiga ada masalah kesihatan.

"Keadaannya sudah beransur baik tetapi masih kena pantau rawatannya dan suami pula menghidap masalah buah pinggang," katanya.

Dayangku Intan yang akan mengundi di Parlimen Setiawangsa menasihatkan pengundi supaya memilih calon bijak dan boleh bekerja untuk rakyat dan masyarakat.

"Artis milik masyarakat, orang sedih kita hiburkan tetapi apabila kita sedih tiada siapa yang tahu dan pedulikan.

"(Jadi) Ahli politik lain, dalam apa juga keadaan pun, mereka kena dahulukan rakyat. Mereka yang menang nanti kenalah berkhidmat dengan ikhlas untuk masyarakat," katanya.

Sementara itu, juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah, 53, mengakui sedia dicalonkan mewakili Parti Amanah Negara (PAN) di mana-mana kawasan ditetapkan kepemimpinan parti.

"Saya tidak ada 'wishlist' kawasan mana untuk bertanding tetapi bersedia (dicalonkan sebagai wakil rakyat).

"Kalau nak hidup untuk rakyat kena bersedialah mana kawasan pun yang diarah oleh parti. (Tapi) bagi saya kalau dalam capacity supporting team (kedudukan pasukan penyokong)," katanya.

Pada PRU-13, Herman Tino bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Tanjung Karang, Dayangku Intan (PKR – Parlimen Pengerang, Johor) dan Aishah (PAS – Parlimen Jempol, Negeri Sembilan).

Bagaimanapun, perjalanan politik semua anak seni gagal mendapat tempat dalam pentas politik demokrasi tanah air.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 3:11pm
d