utama

Seni kraf Orang Asli

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Peluang memperkenalkan produk warisan masyarakatnya tidak pernah disia-siakan, malah Ayu Sali, 27, akan mengikuti setiap program khusus memperkenalkan kraf tangan masyarakat Orang Asli kepada orang luar.

Kata ibu kepada tiga anak itu, keunikan pada kraf tangan Orang Asli antara yang sering menjadi perhatian kerana semuanya berasaskan sumber alam semula jadi dan begitu dekat dengan masyarakatnya.

“Saya mula berkecimpung dalam kerja menganyam sejak berusia 11 tahun dan banyak diajar oleh nenek saya, Wazrul Basak.

“Dulu saya mengambil masa sebulan untuk menyiapkan sebuah bakul atau raga tetapi kini mampu menyiapkannya dalam dua minggu bergantung kepada kelapangan,” katanya ketika ditemui pada Program Semarak Muzium bersama Muzium Seni Kraf Orang Asli (MSKOA) di Muzium Negara, di sini, kelmarin.

Menurutnya, aspek ketahanan dan nilai estetika antara yang sering dititikberatkan.

“Produk berkualiti penting untuk menarik perhatian pembeli. Saya menjadikan kepelbagaian dalam anyaman untuk setiap produk dihasilkan sesuai dengan cita rasa pembeli produk kraf.

“Saya tidak mengadakan jualan secara besar-besaran dan hanya menjual hasil kraf tangan di Muzium Orang Asli yang terletak di Gombak,” katanya yang juga daripada kaum Senoi dan berasal dari Raub, Pahang.

Sementara itu, sukarelawan, Man Bahtuin, 47, berkata, dia banyak membuat kerja sukarela untuk mempromosikan budaya masyarakat Orang Asli.

“Setiap kali adanya pameran atau program berkenaan Orang Asli, saya akan mengikutinya dan menjadi pembantu untuk memberi penerangan mengenai keistimewaan tersendiri budaya kehidupan kami.

“Sebagai pewaris kepada keunikan warisan Orang Asli, saya tidak mahu ia terus dilupakan dan akan mempertahankan keindahannya,” katanya yang sudah lebih 20 tahun terbabit dalam penghasilan sumpit, jerat dan bakul.

Disiarkan pada: April 16, 2018 @ 7:05am
d