utama

Tergamak kau sayang... [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KES pembunuhan lelaki yang ditemui dengan tiga kesan tembakan di kawasan Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Jalan Gerik-Kupang, Gerik, pada 7 April lalu dipercayai bermotifkan cemburu.

Motif pembunuhan itu diketahui selepas polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang juga bekas isteri kepada mangsa di sekitar daerah itu pada Selasa lalu.

Dalam kejadian 4 petang itu, mayat Kamarulzaman Safri, 38, yang menjalankan perniagaan sewa lori, ditemui mati dengan tiga kesan tembakan di kepala, dada dan perut dalam keadaan lengkap berpakaian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, suspek seorang lelaki dan wanita yang ditahan itu adalah pasangan kekasih, manakala mangsa adalah bekas suami kepada wanita berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal dijalankan polis mendapati pasangan kekasih berusia 41 dan 38 tahun itu terbabit dalam kes berkenaan selepas kedua-dua mereka membuat pengakuan ketika disoal siasat, manakala seorang lagi lelaki ditahan hanya untuk membantu siasatan.

“Semalam suspek lelaki dan perempuan jelaskan apa yang berlaku dan membawa sepasukan polis ke rumah ibu suspek lelaki di Kampung Jong, Gerik dan menunjukkan pistol yang digunakan untuk menembak mangsa.

“Pistol jenis ‘Colts Convenent’ itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dan turut ditemui 35 butir peluru yang masih disimpan, manakala dua telefon bimbit mangsa ditemui di bawah jambatan di Gerik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Yahya berkata, mangsa yang sudah bercerai dengan suspek wanita itu pada Disember lalu dipercayai masih mahu merujuk kembali hubungan mereka menyebabkan suspek lelaki yang juga kekasih wanita itu berang dan membunuh mangsa.

Katanya, suspek lelaki yang bekerja sebagai penjawat awam itu sudah berkahwin dan menjalinkan hubungan cinta dengan bekas isteri mangsa yang juga seorang kontraktor di sekitar daerah Gerik.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 11 April lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Dengan pengakuan kedua-dua suspek itu, polis yakin sudah berjaya menyelesaikan kes pembunuhan itu dan kertas siasatan akan dirujuk untuk pendakwaan,” katanya.

Pada 7 April lalu, NSTP melaporkan hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui tiga kelongsong dan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki berhampiran mayat mangsa.

Berita berkaitan

Kesan tembakan pada mayat lelaki

[UPDATE] Maut ditembak tiga das

Disiarkan pada: April 16, 2018 @ 1:30pm
d