utama

Warna-warni Gold Coast 2018 [METROTV]

Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

SUKAN Komanwel Gold Coast 2018 melabuhkan tirainya Ahad lalu dengan Malaysia berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

Bagi mengimbas semula, berikut adalah beberapa fakta menarik berhubung persembahan terbaik atlet, detik mengecewakan, atlet yang memecahkan rekod, kata-kata yang menjadi inspirasi dan kelakar selain blooper.

Final tumpuan

Datuk Lee Chong Wei membuktikan usia bukan penghalang buat dirinya untuk menewaskan pemain nombor satu dunia, K Srikanth dalam final acara perseorangan lelaki.

Pemain nombor tujuh dunia itu kini menjadi atlet Malaysia paling berjaya pada temasya Sukan Komanwel apabila meraih lima pingat emas dan satu perak.

Pecah rekod

1. Atlet angkat berat, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad tidak hanya memenangi pingat emas pertama Malaysia di Gold Coast tetapi turut memecahkan rekod Sukan Komanwel dalam kategori lelaki 56kg.

Dia berjaya mengangkat bebanan 117kg bagi acara snatch sekali gus mengatasi rekod 116kg selama lapan tahun yang dipegang Amirul Hamizan Ibrahim pada edisi 2010 (New Delhi).

Angkatan keseluruhan 261kg yang dilakukan Azroy turut memecahkan rekod 260kg milik Amirul yang dilakukan ketika 2002 (Manchester).

2. Atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin memperbaharui rekod remaja dunia 157kg miliknya apabila mencatat 166kg tetapi sekadar menamatkan saingan di tempat keempat dalam kategori lightweight.

3. Atlet renang para, Carmen Lim memadamkan rekod Para Asean 36.48s miliknya dalam saingan S8 50m gaya bebas apabila merakamkan 35.95s tetapi menamatkan saingan di tempat kelima.

4. Perenang, Tern Jian Han melakukan kejutan apabila memecahkan rekod kebangsaan selama 16 tahun milik Lim Keng Liat 25.67s dalam acara 50m kuak lentang apabila mencatat 25.60s dalam aksi separuh akhir. Bagaimanapun, dia gagal mengekalkan rentak di final dengan menamatkan saingan di tempat kelapan.

5. Atlet angkat berat wanita, Siti Aisyah Md Rosli memecahkan rekod kebangsaan miliknya 90kg (snatch) dan 115kg (jerk) dengan 91kg (snatch dan 123kg (jerk) dalam kategori 90kg dan menamatkan saingan di tempat keempat.

6. Atlet gimrama negara, Amy Kwan (1 emas, 1 perak, 2 gangsa) dan Koi Sie Yan (0-3-1) adalah atlet Malaysia yang memenangi paling banyak pingat dengan masing-masing membawa pulang empat pingat di Gold Coast.

Pencapaian baharu (tanpa pingat)

1. Welson Sim menjadi perenang pertama Malaysia sejak Lim Keng Liat pada 2002 yang mara ke final Sukan Komanwel. Dia melakukannya dalam acara 400m gaya bebas sebelum Tern Jian Han menyamai pencapaian itu dalam acara 50m kuak lentang. Welson juga turut menyertai final acara 1,500m tanpa perlu melalui pusingan kelayakan.

2. Pelumba basikal trek negara, Shah Firdaus Sharom menjadi tajuk utama berita apabila menyingkirkan juara dunia, Matt Glaetzer dalam pusingan pertama acara pecut. Bagaimanapun dia hanya menamatkan saingan di tempat keempat.

3. Atlet pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli menghadirkan sinar bahar apabila mara ke separuh akhir acara 100m manakala kuartet 4x100m lelaki yang diketuai Khairul Hafiz Jantan melangkah ke final acara berkenaan. Bagaimanapun, mereka gagal menyerlah di pusingan seterusnya.

4. Rachel Arnol-S Sivasangari melakar kejutan terbesar apabila menewaskan pilihan utama yang juga juara dunia Joelle King-Amanda Landers Murphy dari New Zealand pada aksi peringkat kumpulan kategori beregu sebelum mereka tersingkir di suku akhir.

Pingat tidak dijangka

1. Nafiizwan Adnan mencipta sejarah apabila memenangi pingat pertama Malaysia dalam acara perseorangan lelaki skuasy.

Pemain kelahiran Terengganu itu yang mengejutkan juara dunia, Nick Matthews di suku akhir memenangi gangsa.

2. Gandingan Ho Ying-Karen Lyne melakar kejutan apabila menjadi pemain Malaysia pertama menaiki podium dalam saingan ping pong individu. Beregu berkenaan menewaskan gandingan India, M Sutirtha-S Pooja untuk meraih gangsa.

3. Beregu badminton wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo hanya bermain satu kejohanan menjelang Sukan Komanwel tetapi masih mampu menyumbangkan emas kepada kontinjen Malaysia. Mei Kuan menggantikan gandingan tetap Vivian, Woon Khe Wei yang mengalami kecederaan.

4. Muhd Afiq Muhamad Ali Hanafiah memenangi gangsa dalam acara T12 100m lelaki dengan catatan 11.28s sekali gus menjadi atlet para pertama Malaysia menghadiahkan pingat dalam sukan olahraga selepas 16 tahun.

Detik pedih

1. Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (beregu campuran) diletakkan sebagai pilihan utama dalam acara masing-masing tetapi gagal membuktikan status mereka itu. V Shem-Wee Kiong memenangi gangsa manakala Soon Huat-Shevon tewas di suku akhir.

2. Azizulhasni Awang tiba di Gold Coast sebagai bekas juara dunia keirin tetapi pelumba basikal trek yang berpangkalan di Melbourne itu tidak dapat memberikan yang terbaik kerana jangkitan virus.

3. Juara dunia, Cheong Jun Hoong dan bekas pemenang, Pandelela Rinong beraksi dalam acara 10m platform dengan harapan yang tinggi diletakkan tetapi terjunan tidak baik yang dilakukan mereka menyaksikan masing-masing menamatkan saingan di luar kelompok bagi mendapat pingat.

4. Nauraj Singh Randhawa dilihat sebagai atlet yang berpotensi menghadiahkan pingat dalam acara lompat tinggi. Dengan catatan peribadi terbaik 2.30m, dia hanya mampu menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan catatan 2.18m.

5. Atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin yang memenangi gelaran Asia tahun lalu, dijangka mencuri tumpuan tetapi ketiga-tiga balingannya dibatalkan sekali gus gagal ke final.

6. Atlet lompat kijang, Muhamad Hakimi Ismail terpaksa membayar harga yang tinggi di atas sikapnya yang terlalu berhati-hati apabila dia hanya mampu mencatat rekod peribadi terbaik 15.97m untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan.

7. Juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David yang dilabel Serena Williams dalam sukan skuasy gagal memenangi sebarang pingat bagi saingan perseorangan wanita yang mungkin menjadi penampilan terakhirnya. Dia yang akan memasuki usia 35 tahun pada Ogos ini memenangi emas pada edisi 2010 (New Delhi) dan 2014 (Glasgow).

Kata-kata bermakna

“Pemain vateran menang hari ini. Sudah pasti ia adalah Sukan Komanwel paling manis dan bermakna buat saya. Ia sentiasa hebat apabila menang pada penampilan terakhir kamu,”

- Jaguh perseorangan badminton, Datuk Lee Chong Wei selepas memenangi emas.

“Jika kami membuat keputusan untuk menangis hari ini, kami perlu lakukannya di podium.”

- Atlet boling padang, Siti Zalina Ahmad memberitahu regunya, Emma Firyana Saroji selepas memenangi emas beregu wanita.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 1:33am
d