utama

'Puas hati la kena 10 jahit pun...'

Oleh Mohamed Sahidi Yusof

LELAKI terpaksa menerima 10 jahitan di tangan kiri ketika bergelut untuk menangkap suspek yang memecah masuk rumah jirannya di Kampung Banggol Tok Ajal, Tanah Merah, malam tadi.

Dalam kejadian 9.15 malam itu, suspek berusia 20-an itu memecah masuk rumah jiran mangsa yang tidak berpenghuni.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, mangsa berusia 45 tahun ke rumah terbabit untuk mengambil air sebelum menyedari cermin tingkap rumah itu diumpil seseorang.

“Dia pulang ke rumahnya untuk mengambil parang bagi mempertahankan diri dan mengarahkan isterinya memberitahu penduduk kampung supaya membantu menangkap suspek.

“Pengadu cedera di tangan kiri akibat terkena parangnya sendiri ketika bergelut dengan suspek yang cuba untuk meloloskan diri," katanya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanah Merah, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang cuba bersembunyi di kawasan semak berhampiran akhirnya diberkas penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa yang cedera di tangan kiri dibawa ke Hospital Tanah Merah dan menerima 10 jahitan.

“Suspek yang memiliki 11 rekod jenayah sebelum ini pernah ditahan berkaitan kes dadah, jenayah, curi kenderaan dan keganasan rumah tangga.

“Tahanan reman terhadapnya dikenakan mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 6:28pm
d