utama

Tak kena buli lagi

Oleh Michelle Gun

Nama As’ad Motawh kian menjadi sebutan peminat khususnya remaja. Single sulungnya berjudul Senyum yang dimuat naik di YouTube pada Ogos tahun lalu meraih lebih 14 juta tontonan.

Sejak itu, remaja berusia 17 tahun ini menerima pelbagai undangan menjayakan persembahan dan menghadiri beberapa acara hiburan.

Berikutan jadual seninya yang padat, anak ketiga daripada empat beradik ini mengambil keputusan belajar di rumah.

Selepas beberapa bulan meninggalkan sekolah, As’ad kian selesa dengan kaedah pembelajaran sedemikian kerana dapat fokus sepenuhnya terhadap setiap subjek.

Malah, penyanyi ini juga menarik nafas lega kerana tidak lagi menjadi mangsa buli di sekolah.

“Saya tidak rindukan suasana sekolah kerana sering dibuli.

“Ada saja mengenai saya yang mengundang rasa kurang senang pembuli. Saya tidak pasti kenapa mereka bersikap sedemikian,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

As’ad turut mendedahkan pernah ditumbuk pelajar ketika berusia 13 tahun.

“Sejak sekolah rendah lagi saya selalu jadi mangsa ejekan. Jadi, saya sudah biasa berdepan situasi itu setiap hari.

“Saya juga dikutuk kerana mahir bertutur dalam bahasa Inggeris. Mereka kata saya mahu menunjuk-nunjuk sedangkan sudah terbiasa sejak kecil bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah,” katanya.

Namun, single Senyum yang menyelitkan lirik berbahasa Inggeris di bahagian korus menerima pujian ramai pendengar.

Rata-rata memuji tahap penguasaan As’ad selain berpendapat lagu itu menampilkan kelainan dalam industri muzik tanah air.

Mahu raih 5A

Bercerita mengenai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki hujung tahun ini, As’ad mengakui gementar.

“Perasaan takut memang ada. Saya bimbang tidak dapat fokus kepada pelajaran kerana pada masa sama perlu komited dengan karier nyanyian.

“Terbaru ini, saya menerima undangan mengacara program muzik Inbox di Indonesia.

“Saya tidak boleh lepaskan peluang ini dan perlu bijak membahagikan masa di antara pelajaran dan kerja,” katanya.

Seperti pelajar lain, As’ad turut meletakkan harapan tinggi untuk meraih keputusan cemerlang.

“Saya mengambil enam subjek. Namun, penguasaan Matematik saya agak lemah, jadi saya menyasarkan 5A,” katanya.

Suka diserbu peminat

Berkongsi pengalaman sebagai artis, As’ad meluahkan rasa terharu apabila diserbu peminat di Indonesia.

“Kebanyakan peminat mengenali saya menerusi nyanyian semula lagu Inggeris popular, Despacito yang dimuat naik di Instagram.

“Jumlah peminat semakin bertambah selepas memperkenalkan single Senyum,” katanya.

Menurut As’ad, kenangan paling manis apabila peminat mengetuk cermin stesen radio dengan memanggilnya sewaktu menghadiri sesi temu bual di Indonesia.

“Saya gembira apabila disambut baik peminat ketika berkunjung ke Bandung, Jakarta dan Surabaya.

“Sebenarnya saya suka diserbu peminat kerana rasa dihargai,” katanya yang bakal melancarkan single kedua dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 4:01am
d