utama

Manfaat 7 juta rakyat

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Kuala Lumpur: Pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)digerakkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak diperkenalkan pada 2012 ternyata memberi impak positif dalam mengatasi kenaikan kos sara hidup rakyat.

Sebanyak RM25.62 bilion diagihkan kepada lebih daripada tujuh juta individu dan keluarga dalam memastikan kelangsungan serta kesejahteraan hidup seiring dengan pertumbuhan negara.

Pengarah Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan Universiti Malaya (UM),Prof Madya Dr Fatimah Kari berkata, peningkatan kos sara hidup cabaran besar terutama kepada keluarga miskin di saat menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Justeru, pelaksanaan BR1M langkah terbaik namun mungkin dapat diperbaiki lagi untuk masa akan datang. Misalnya, dengan melaksanakan sistem kupon atau baucar mengehadkan kepada keperluan asas saja.

“Ini bagi mengelakkan wang diterima disalahguna penerima dengan membeli barang bukan keperluan. Misalnya, di Amerika Syarikat dan Eropah, sistem kupon dan baucar sudah dilaksanakan dan ternyata ia lebih fokus, berkesan dan sistematik,” katanya.

Pada 2017, kerajaan mengagihkan RM6.31 bilion BR1M kepada 7.22 juta keluarga dan individu layak.

Katanya, seelok-eloknya pemberian BR1M di negara ini dilakukan sedemikian bagi memastikan ia digunakan semaksimum mungkin seperti menampung kos bagi pembelian barangan runcit, perbelanjaan sekolah dan bil bulanan.

“Jika berterusan diberi dengan wang tunai, mungkin misi dan visi BR1M sukar dicapai sepenuhnya.

“Selain itu, mungkin kerajaan boleh memikirkan langkah seterusnya dengan memberi kepada penerima yang betul-betul layak.

“Pada masa depan, BR1M perlu mempunyai masa atau jangka hayat tertentu supaya masyarakat dapat berusaha dengan lebih kuat demi meningkatkan taraf hidup masing-masing,” katanya.

Sementara itu, kerani, Amirah Abd Hadi, 29, berkata, pemberian BR1M ternyata meringankan beban membeli keperluan bulanan seperti beras, minyak, susu dan sebagainya.

“Sekurang-kurangnya, saya memperuntukkan RM150 untuk membeli keperluan makanan, jadi dengan adanya BR1M, saya tidak perlu bimbang kekurangan duit atau sebagainya.

“Setiap tahun, saya dan ibu atau ayah menerima BR1M. Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan rakyat seperti kami,” katanya.

Rosita Gelang Anak Jelai, 32, berkata, bantuan BR1M sangat dinanti-nantikan kerana ia dapat mengurangkan beban perbelanjaan suami yang bekerja sebagai buruh kasar.

“Pendapatan suami tidak banyak, tetapi BR1M dapat melegakan perbelanjaan bulanan kami yang boleh mencecah hingga RM400 sebulan.

“Ada masanya kami terdesak dan terpaksa mengurangkan sedikit perbelanjaan. Jadi bila adanya BR1M, gaji suami dapat digunakan ke arah yang lebih bermanfaat,” katanya.

Bantuan rangkumi seluruh masyarakat

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), penyediaan lebih banyak rumah berkualiti dan mampu milik, bantuan khas pendidikan, kemudahan kesihatan serta mengukuhkan kedai berorientasikan rakyat menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha menangani kos sara hidup rakyat.

Sebanyak 185 Klinik 1Malaysia (K1M) dibina dari 2013-2017 menjadikan jumlah keseluruhan 334 buah dengan purata 5.27 juta kedatangan pesakit (baru dan ulangan) setiap tahun.

Kakitangan swasta, Mohd Sulhee Ahmad, 40, berkata, perkhidmatan K1M memberi manfaat kepada dirinya sekeluarga serta jutaan penduduk di negara ini.

“Layanan diterima daripada kakitangan bertugas mesra dan pantas, malah kualiti ubat disediakan setanding klinik swasta,” katanya.

Penerima Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M), Emmanuel Christy berkata, pelancaran KADS1M sejak September 2012 meringankan beban pelajar universiti.

“Apabila ingin membeli keperluan seperti buku, saya menggunakan kad untuk mendapatkan diskaun dan hanya perlu membayar jumlah yang minimum.

“Walaupun hanya RM250 setahun, ia sangat membantu pelajar seperti kami,” katanya.

Timbalan Presiden, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, BR1M satu usaha wajar diperkenalkan kerajaan bagi membantu masyarakat, terutamanya golongan bujang untuk mengurangkan beban mereka dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Sejak diperkenalkan pada 2012, BR1M memberi manfaat kepada tujuh juta individu, tetapi saya cadangkan agar penerima memanfaatkan bantuan ini untuk pelaburan.

“Memang jumlahnya tidak besar, tetapi golongan bujang boleh menggunakan duit itu bagi pelaburan jangka panjang misalnya dijadikan sebagai wang pendahuluan pembelian kereta,” katanya.

Beliau berkata, FOMCA juga berharap pemberian BR1M dapat dikawal kerajaan agar penerima tidak membelanjakannya secara suka hati.

“BR1M adalah antara mekanisme utama penyampaian bantuan subsidi bersasar yang diguna pakai bagi menggantikan sistem subsidi sebelum ini yang kurang berkesan.

Justeru, penerima bantuan ini harus membelanjakannya sebaik mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 4:01am
d