utama

'Kami tempuh pelbagai ujian'

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Keluarga pesakit para tiroid Nurliyana Abdul Raziff, 32, terguris dengan komen pemilik akaun Facebook (FB) Rafidah Abdullah mengenai pesakit itu yang kini masih kritikal selepas menjalani dua pembedahan.

Kelmarin, komen dimuat naik di akaun FB berkenaan tular di media sosial, namun apa yang tidak enak kenyataan itu menyebabkan timbulnya rasa kurang senang kerana seolah-olah menyalahkan pihak keluarga Nurliyana.

Bapa Nurliyana, Abdul Raziff Muhammad Radzi, 55, berkata, mereka sekeluarga menjaga wanita itu daripada kecil sehingga dewasa dan bersama-sama menempuh pelbagai ujian.

“Berikutan itu, kami amat kesal dengan komen berkenaan, jika boleh dapat laporan perubatan Nurliyana daripada pihak hospital, kenapa tidak hubungi kami, ia lebih elok sebelum buat sebarang kenyataan.

“Apa yang penting bagi kami sekarang adalah berikan yang terbaik buat Nurliyana yang kini kritikal. Sebelum ini saya dan menantu sedia dermakan buah pinggang tapi tidak disyorkan doktor kerana khuatir organ itu rosak akibat SLE atau lupus (masalah antibodi rendah),” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur di sini, semalam.

Abdul Raziff berkata, pihak keluarga berharap tidak ada lagi mana-mana pihak membuat sebarang kenyataan berunsur fitnah atau tidak berasas selepas ini.

“Kami juga cuba sedaya upaya untuk menuruti apa yang disarankan doktor selain meneruskan ikthiar mencari pakar yang boleh memberikan rawatan terbaik kepada Nurliyana,” katanya.

Menceritakan mengenai keadaan Nurliyana, Abdul Raziff berkata, anaknya masih dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan pada Jumaat dan Isnin lalu.

“Jantung Nurliyana masih lemah, namun bacaan karbon dioksida dalam tubuh sudah menurun, tapi belum mencapai tahap normal.

“Pembedahan membuang kelenjar para tiriod juga dianggap berjaya kerana bengkak sudah mula surut, memang nampak perbezaan berbanding sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 4:58am
d