utama

'Semoga Allah membalas jasa' - Elyana [METROTV]

Oleh Ardini Sophia Sina

PENYANYI lagu Kalis Rindu, Elyana, berterima kasih atas usaha pihak Persatuan Suri & Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) menubuhkan Tabung Kanser Elyana untuk meringankan beban kewangan ditanggungnya.

Sepanjang bergelar anak seni dan disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat, Elyana, 31, tidak pernah terfikir mengenai tabung kanser diwujudkan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Terima kasih kepada pihak PUSPANITA kerana mewujudkan tabung itu. Saya sangat berbesar hati dan terharu dengan usaha mereka. Ia tabung pertama ditubuhkan khas untuk saya.

"Dengan adanya tabung itu, saya kena bergerak pantas membantu mereka yang senasib dengan saya. Mungkin dari segi wang ringgit saya tidak berkemampuan tetapi boleh berkongsi semangat," kata penyanyi itu dengan nama sebenar Emeelya Elyana Emrizal.

Tabung Kanser Elyana dilancarkan bersempena Karnival PUSPANITA Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengangkat tema menghargai wanita dan wanita perkasa dalam memacu pembangunan negara.

Bertempat di Putrajaya pada 12 Mei depan, karnival itu mensasarkan penyertaan seramai 15,000 pengunjung dengan pelbagai acara disusun termasuklah Srikandi Run 2018.

Setiap RM1 daripada penyertaan larian akan diserahkan kepada Elyana.

Selain Tabung Kanser Elyana, pihak PUSPANITA turut menubuhkan Tabung Silaturahim Rakan-Rakan Rockers Otai Klang dipengerusi oleh Poey Stings.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 2:38pm
d