utama

'Hantaran paling istimewa buat bakal suami' - Dynas

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON popular Dynas Mokhtar menghadiahkan bakal suaminya, Shazrik Din, 36, rawatan lasik berjumlah RM13,000 sebagai hantaran pernikahan mereka yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Dynas atau Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 35, berkata rawatan itu dibuat kelmarin dan ia kejutan buat Shazrik yang memakai cermin mata sejak berusia lapan tahun.

"Saya anggap ini hantaran paling istimewa. Daripada saya belikan barang lain, lebih baik saya hadiahkan sesuatu yang bermanfaat dan boleh dikenang sampai bila-bila.

"Apatah lagi, saya juga pernah menjalani rawatan ini. Jadi, saya tahu betapa nikmatnya daya penglihatan kembali pulih," katanya.

Menurut Dynas, dia membawa Shazrik bertemu pakar mata untuk melakukan pemeriksaan biasa namun sebenarnya temu janji itu adalah rawatan lasik.

"Shazrik takut bertemu doktor, jadi saya aturkan rawatan ini secara rahsia. Apabila sampai di sana, doktor terus melakukan rawatan berkenaan yang hanya mengambil masa dua minit.

"Dia terkejut dan berterima kasih kerana tidak perlu lagi memakai kaca mata atau kanta lekap. Kalau sebelum ini, benda pertama dicari selepas bangun tidur adalah cermin mata, tetapi kini tidak lagi.

"Malah Shazrik juga sudah boleh bersukan dengan selesa. Pendek kata dia sangat gembira. Lagi satu, masa nak nikah nanti dia boleh melihat wajah Tok Kadi dengan jelas," katanya.

Bagaimanapun, Dynas berkata dia masih menyediakan lapan hantaran lain berbalas tujuh daripada pihak lelaki.

Majlis yang bakal berlangsung Sabtu ini adalah perkahwinan keduanya selepas bercerai empat tahun lalu.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Dynas dikurniakan dua anak iaitu Khyra Khalyssa yang berusia lapan tahun dan Mohamed Haqaish, enam tahun.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 3:09pm
d