utama

Edry mahu fokus pendidikan anak

Oleh Michelle Gun

Pengumuman anggota KRU bersara sebagai penyanyi selepas 25 tahun dalam industri muzik tanah air mengejutkan ramai.

Trio adik-beradik dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Edry dan Yusry mengambil keputusan sukar itu berikutan masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri.

Edry, 41, berkata, sudah tiba masanya untuk dia memberi fokus sepenuhnya terhadap keluarga terutama anak ketiganya, Emery, 11, yang menghidap autisme.

Menurut Edry, selepas persembahan terakhir KRU di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 Mei ini, dia akan membawa keluarganya ke Eropah bagi membolehkan Emery mendapatkan bantuan pendidikan sewajarnya.

“Selama ini saya sibuk mengajar orang menyanyi dan mengabaikan keutamaan anak istimewa saya.

“Sampai sekarang anak saya belum dapat bertutur dan mengambil keputusan mencari sekolah khas di luar negara bagi membantu dalam perkembangannya,” katanya pada sidang media Konsert Gergasi KRU25, kelmarin.

Edry berkata, dia bersama keluarganya akan berangkat ke Eropah selepas Aidilfitri dan merancang menetap di sana selama setahun.

“Saya masih akan pulang ke tanah air kerana mempunyai keluarga lain di sini selain ada perniagaan yang perlu diuruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Norman berkata KRU sudah mencapai pelbagai kejayaan apabila memenangi banyak anugerah dan persembahan.

“Keputusan ini supaya kami dapat maju ke hadapan sebagai individu. Sudah tiada apa yang perlu dicapai lagi untuk KRU.

“Apabila melihat kembali video muzik dan persembahan KRU sewaktu zaman kegemilangan, saya mendapati kami sangat berbeza berbanding sekarang. Perjalanan sebagai KRU membentuk kami pada hari ini,” katanya.

Menurut Norman, KRU tidak merancang membuat persembahan reunion selepas Konsert Gergasi KRU25 kerana masing-masing sibuk.

Sementara itu, Yusry berkata, keputusan itu dilakukan secara sebulat suara dan tidak menyesal membubarkan kumpulan berkenaan.

“Selama ini, kami seperti penyanyi sambilan dan pada masa sama turut melakukan kerja lain. Menerusi pembubaran KRU, kami bebas melakukan apa saja dan boleh memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bidang lain,” katanya.

Mengenai Konsert Gergasi KRU25, Yusry berkata, 20 lagu dijangka dipersembahkan kepada penonton.

“Oleh kerana konsert akan berlangsung di Istana Budaya, kami perlu memastikan segalanya kemas dan teratur. Sudah tentu akan ada gimik dan kejutan nanti,” katanya.

Sempena penampilan terakhir mereka, KRU juga akan mengeluarkan album kompilasi 29 lagu hit yang akan dilancarkan pada 4 Mei ini.

Album itu turut memuat satu lagu bonus baru berjudul Tahan Lama yang menampilkan Joe Flizzow.

Sejak kemunculan mereka pada 1992, KRU mencetus fenomena luar biasa dengan gabungan elemen hip hop, R&B dan pop.

Kumpulan ini mempunyai banyak lagu hit antaranya Jangan Lafazkan, Apa Saja, Mengerti, Awas dan Oh La La.

KRU bukan saja berjaya membina kerjaya sebagai penyanyi dan penghibur tetapi turut membantu menaikkan nama beberapa artis tempatan selaku syarikat rakaman.

Konsert Gergasi KRU25 akan berlangsung selama tiga hari pada 4 hingga 6 Mei ini.

Tiket menyaksikan persembahan KRU boleh dibeli menerusi laman web www.kruarena.com.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 2:36am
d