utama

Impian berakhir

Oleh Reuters

Gaza: Impian pelumba basikal Palestin mengibarkan bendera negaranya di Sukan Asia, lebur selepas kakinya terpaksa dipotong akibat terkena tembakan ketika menyertai perhimpunan besar-besaran anti-Zionis di sempadan Gaza.

Kaki kanan Alaa Al-Daly, 21, dipotong selepas menyertai hari pertama ‘Perarakan Kepulangan’, tunjuk perasaan selama enam minggu di sempadan Gaza dengan Israel.

Keluarganya meminta dia dibawa keluar dari Gaza untuk mendapatkan rawatan lebih baik di Tebing Barat atau Israel, namun gagal kerana pihak berkuasa Israel menganggap Daly sebagai perusuh dan pemberontak.

Menurut Daly, dia dan tiga rakan berbasikal ke arah perhimpunan itu pada 3 Mac lalu, sebelum berjalan ke perhimpunan yang dianggap mereka sebagai bukan demonstrasi ganas.

“Saya pergi kerana ia perhimpunan aman. Saya tidak menjangka sesuatu yang buruk akan menimpa saya,” katanya.

Menurutnya, dia berada kira-kira 150 hingga 200 meter dari pagar sempadan dan tidak terbabit dengan sebarang aktiviti memprovokasi tentera Israel apabila terkena tembakan.

Pegawai perubatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 16 penduduk Palestin terbunuh pada 30 Mac lalu, hari sama Daly ditembak, manakala 17 lagi yang cedera perlu menjalani pemotongan anggota.

Daly yang sebelum ini berlatih lebih enam jam sehari sejak berbulan lalu sebagai persediaan ke Sukan Asia di Indonesia, menerima hakikat impiannya sudah berakhir.

Namun beliau kini belajar berjalan menggunakan tongkat dan berharap akan dapat menyertai pertandingan di masa akan datang sebagai atlet orang kurang upaya (OKU).

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 4:06am
d