utama

Bienda remajakan diri

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Minat terhadap dunia nyanyian tidak pernah padam dalam diri Bienda malah, dia berasakan cabang seni itu sudah sebati dengannya.

Walaupun pernah terdetik rasa ingin berhenti ekoran kegagalan album kedua sembilan tahun lalu, Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli, 33, tidak menjadikan ia sebagai halangan utama.

Menurut Bienda, pembabitannya sebagai penyampai radio di Manis FM selama lebih setahun memberi semangat baru untuk terus berjuang dalam bidang nyanyian.

Secara perlahan-lahan Bienda yang popular menerusi lagu Penantian pada 2004 mengkaji aliran muzik yang sesuai dirakam seterusnya boleh diterima baik peminat.

“Album Bienda Kenaliku pada 2009 gagal di pasaran. Album itu saya terbitkan sendiri menggunakan wang simpanan. Memang saya sangat kecewa kerana ia tidak mendapat sambutan.

“Pada masa sama, stesen radio pula ‘demand’ dan semua lagu dalam album itu tidak mendapat sokongan stesen radio tempatan. Saya ada juga minta tolong rakan penyampai yang sudah kenal lama, tetapi tidak berjaya. Ketika itu saya juga buat sendiri promosi lagu ini.

“Mengenangkan layanan diberikan, saya berasa sangat sedih. Sejak itu, saya merajuk daripada industri muzik. Selama bertahun lamanya, saya senyap. Malah pernah terdetik rasa nak berhenti,” katanya.

Bienda berkata, walau apa jua cabang seni dilakukan seperti pengacaraan dan lakonan, nyanyian tetap utuh dan seakan-akan menjadi jati diri.

Disebabkan itu, Bienda memberanikan diri semula dengan muncul dengan single baru berjudul Jaga Hati.

Berbeza daripada genre sebelum ini iaitu world music, lagu ciptaan Dj Fuzz itu menyaksikan perubahan sepenuhnya muzik Bienda.

“Kalau dengar lagu ini memang tak masuk akal dengan muzik saya sebelum ini. Pendek kata, lagu ini bukan identiti diri saya.

“Namun, selepas melakukan kajian sepanjang bekerja di radio, saya berasakan muzik sebegini sangat dekat dengan peminat. Malah, atas cadangan KC Ismail dia menyarankan saya berjumpa DJ Fuzz.

“DJ Fuzz memberikan dua lagu dan saya memilih lagu ini. Alhamdulillah, selepas siap sepenuhnya saya sangat berpuas hati. Saya akur dengan trend muzik sekarang dan terpaksa meremajakan diri dari segi lagu,” katanya.

Ditanya kenapa tidak memilih genre balada seperti kebanyakan penyanyi baru sekarang, Bienda mengakui dia bukan penyanyi yang bagus untuk genre itu.

“Saya boleh menyanyi, tapi tidak mahu susahkan diri. Saya ambil jalan tengah yang mana lagu kena ikut kesesuaian suara dan kemampuan diri.

“Dalam perkara ini, saya sedar diri dan ruang. Saya tidak mahu melakukan sesuatu yang akhirnya sia-sia,” katanya.

Pada masa sama, Bienda juga meluahkan keinginan untuk bekerjasama semula dengan Yassin, komposer yang berjaya mengangkat namanya selepas keluar dari kumpulan nasyid Solehah.

“Saya tidak mahu terhenti setakat lagu ini. Kalau boleh, saya ingin terus berkarya. Insya -Allah jika ada rezeki, saya nak bekerjasama semula dengan Yassin seperti dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bienda yang dilantik menjadi ‘muse’ koleksi Aidilfitri jenama, Carissa turut melancarkan muzik video rasmi lagu itu.

Istimewanya juga, muzik video yang menjalani penggambaran di Lombok, Indonesia itu ditaja sepenuhnya pihak Carissa.

“Ilham video muzik ini daripada beberapa video muzik lagu Justin Bieber. Video muzik lagu ini memaparkan kisah perhubungan dengan orang terdekat.

“Pada masa sama, saya turut menggayakan dua koleksi Aidilfitri jenama ini dalam video muzik ini. Ia bersesuaian dengan jalan cerita,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 2:12am
d