utama

Miliki rumah sendiri

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Georgetown: Sebanyak 52,925 rumah mampu milik menerusi 79 projek dirancang akan dibina di beberapa kawasan di negeri ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang, Datuk Syed Shaari Syed Abdullah berkata, ia selari dengan hasrat dan perjuangan Kerajaan Persekutuan yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, pembinaan rumah mampu milik juga muncul sebagai bukti Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan Pulau Pinang walaupun pentadbiran kerajaan negeri diterajui pakatan pembangkang sejak dua penggal lalu.

“Berdasarkan unjuran semasa, 27 projek membabitkan 5,895 unit rumah mampu milik siap dibina di beberapa kawasan di negeri ini dengan kos keseluruhan bernilai RM579.86 juta.

“Angka itu tidak termasuk 26 projek membabitkan 7,977 unit rumah mampu milik yang sedang dibina dengan kos keseluruhan bernilai RM867.60 juta.

“Bilangan unit rumah mampu milik ini jelas menyelesaikan masalah dihadapi rakyat di negeri ini yang sukar untuk membeli atau mendapatkan kediaman mereka sendiri, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan 9,999 rumah kos sederhana rendah dan mampu milik yang bakal memberi keselesaan kepada rakyat Pulau Pinang.

Syed Shaari berkata, pembinaan rumah mampu milik itu dilaksanakan beberapa agensi Kerajaan Persekutuan yang dilantik secara khusus membantu menyelesaikan masalah kekurangan penawaran kediaman di negeri ini.

“Ia membabitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Perbadanan PERDA Ventures, JKP Sdn Bhd dan UDA Holdings Berhad.

“Selain itu, pembinaan rumah mampu milik ini turut dilaksanakan Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun berhadapan kesukaran membangunkan 26 projek lain membabitkan 39,053 unit rumah mampu milik di negeri ini.

Katanya, keseluruhan projek membabitkan kos bernilai RM5.2 bilion itu masih dalam peringkat perbincangan ekoran beberapa syarat tambahan yang disifatkan pelik ditetapkan kerajaan negeri.

“Antaranya, kerajaan negeri mensyaratkan setiap unit rumah mampu milik dijual kepada pemohon dalam senarai dikeluarkan pentadbiran mereka tanpa mengambil kira senarai sedia ada diterima agensi itu.

“Malah, kerajaan negeri juga meminta sejumlah unit daripada beberapa projek rumah mampu milik yang dibangunkan serta syarat lain,” katanya.

JKFG sedia dana biaya rumah kos rendah

Rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang berhadapan kesukaran memiliki rumah sendiri terus dibela menerusi inisiatif khas dirangka Jawatankuasa Focus Group (JKFG) Perumahan dan Hartanah seliaan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.

Pengerusinya, Datuk Jahara Hamid berkata, inisiatif itu termasuk menyediakan dana pembiayaan perumahan khusus bagi mana-mana individu berpendapatan rendah dan sederhana yang gagal mendapatkan pinjaman di bank komersial.

Selain itu, katanya, JKFG turut berperanan dalam menyediakan bank tanah di Pulau Pinang bagi tujuan pembinaan rumah mampu milik atau projek berteraskan rakyat yang akan dibangunkan agensi Kerajaan Persekutuan.

“JKFG ini ditubuhkan khusus bagi menyelesaikan isu pemilikan dan pembinaan rumah mampu milik, kos rendah serta aset komersil yang semakin berkurangan sejak pentadbiran kerajaan negeri diambil alih pakatan pembangkang.

“Bagi rumah kos rendah misalnya, JKFG menawarkan kediaman sedemikian pada nilai RM43,000 seunit, iaitu 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. Ini terhasil daripada subsidi diberikan Kerajaan Persekutuan.

“Malah, kita juga menyediakan dana perumahan pada kadar 120 peratus daripada harga rumah di bawah RM200,000, khusus bagi individu berpendapatan RM3,000 ke bawah yang gagal mendapatkan pinjaman di bank komersial,” katanya.

Ada lima JKFG ditubuhkan di bawah Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang dipengerusikan Datuk Seri Zainal Abidin Osman, iaitu Usahawan dan Koperasi, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; Belia, Wanita dan Kesejahteraan Rakyat; serta Modal Insan.

Jahara berkata, pihaknya berperanan menyediakan dana RM10 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan hampir 100 keluarga di Kampung Mutiara, Batu Ferringhi yang diarah keluar selepas tuan tanah mendapatkan perintah mahkamah.

“Bagi isu ini, kita bekerjasama dengan UDA Holdings Berhad untuk membeli tanah di sebelah kampung untuk membina 1,000 unit rumah kos rendah dan sederhana untuk dijadikan penempatan semula penduduk,” katanya.

Sementara itu, penduduk Pangsapuri Bayu Tiara, Bayan Lepas, Mohd Azhar Che Saad, 38, berkata dia gembira selepas berpeluang memiliki rumah sendiri selepas sekian lama menyewa di Sungai Nibong.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 4:37am
d