utama

Mufti sebak, mangsa penghafaz al-Quran

Oleh Teo Pei Ying dan Fazrik Kamarudin

“Saya dapati Dr Fadi M R Albatsh Fatma fasih menghafaz Al Quran serta pernah menjadi imam solat terawih untuk beberapa tahun,” ujar Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau yang hadir menziarah jenazah Dr Fadi di Hospital Selayang (HS), Gombak petang tadi, turut menyifatkan tragedi yang menimpa Dr Fadi sebagai memilukan dan berdoa kejadian seumpama itu tidak akan berulang.

“Dr Fadi pernah bertemu dengan saya untuk mengambil tauliah ( menjadi imam) dan kami memberi tauliah kepadanya. Saya ucapkan takziah kepada keluarga beliau dan merasa cukup sedih atas tragedi seperti ini.

“Semoga Allah SWT beri kekuatan ke atas kita semua selamat dari bala angkara yang seumpama ini,” katanya.

Sementara itu adik mangsa, Dr Rami Albatsh, 31, memberitahu dia dan keluarga reda dengan apa yang berlaku.

Dia tiba ke HS untuk melihat jenazah abangnya kira-kira jam 7.40 malam tadi.

Dr Rami yang ditemani kira-kira 15 kenalan dan sahabat handai tiba di negara ini dengan penerbangan dari Jerman jam 3 petang tadi.

Dia yang kurang fasih berbahasa Inggeris memberitahu akan membantu urusan tuntutan jenazah abangnya itu.

Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi semalam, mangsa Dr Fadi ditembak dua suspek menaiki motosikal berkuasa besar jenis BMW GS, ketika mangsa sedang berjalan kaki menuju ke surau berhampiran pintu masuk di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Taman Medan di sini.

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 9:50pm
d