utama

Cadangan untuk kelab peminat

Oleh HM Digital

Tahap kesihatan Elyana yang menghidap kanser limfoma tahap empat ada turun naiknya.

Namun, kecekalan wanita itu berjuang meneruskan hidup patut dijadikan contoh semua wanita.

Penyanyi popular dengan lagu Kalis Rindu ini mempunyai hasrat untuk melawat dan melakukan aktiviti khas buat pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi.

Katanya, dia sudah merasai kesan rawatan itu dan tahu ia menyebabkan timbulnya rasa rendah diri kerana rambut yang semakin nipis dan kulit menjadi kusam.

“Saya ada impian untuk buat satu acara khas buat pesakit kanser. Antara aktiviti yang saya ingin lakukan ialah mahu mengajar mereka cara bersolek sekadar untuk naikkan seri wajah.

“Saya mungkin akan jemput jurusolek untuk mengajar solekan asas bagi menjadikan wajah berseri. Perkara seperti ini pun mampu membantu menurunkan tahap tekanan.

“Saya pernah menjalani rawatan kemoterapi dan tahu keadaan kulit selepas itu. Saya tidak yakin keluar rumah kerana kulit jadi gelap dan kusam,” katanya.

Menurutnya, dia mencadangkan kepada kelab peminat supaya menganjurkan aktiviti khas buat pesakit kanser.

Mahu harapkan dirinya, pergerakannya agak terbatas dan tidak boleh terlalu penat.

Katanya, jika ada yang tampil ingin membantu, impian itu pasti terlaksana dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, Puspanita Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Perintis Group menubuhkan Tabung Kanser Elyana bagi membantu mengurangkan beban kewangan ditanggungnya.

Pihak terbabit menganjurkan aktiviti Srikandi Run pada 12 Mei ini apabila setiap RM1 daripada bayaran penyertaan akan dimasukkan dalam tabung itu.

Elyana yang bersyukur dan berterima kasih atas usaha ini bagaimanapun bimbang penubuhan tabung itu akan disalahertikan segelintir masyarakat.

“Agak lama juga saya berfikir sebelum bersetuju dengan tabung itu. Sebelum ini saya pernah dikatakan cuba meraih simpati. Perkara itulah yang membuatkan saya berat hati untuk menerimanya.

“Bagaimanapun, saya berfikiran positif menerima dengan hati terbuka. Kenapa saya perlu menolak bantuan ikhlas daripada orang ramai? Saya rasa sangat disayangi dan dihargai,” katanya.

Elyana juga akan hadir bagi memeriahkan acara. Dia akan berkongsi pengalaman dan berharap ramai pesakit kanser serta keluarga mereka akan hadir. -Ardini Sophia Sina

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 8:36am
d