utama

17 maut nahas bot naga

Beijing: Seramai 17 orang mati lemas apabila dua perahu naga yang menjalani latihan terbalik, dipercayai akibat arus deras.

Menerusi rakaman yang disiarkan di televisyen, sebuah perahu sarat dengan peserta karam di kuala sungai yang berarus deras, berhampiran bandar Guilin.

Media melaporkan kebanyakan mangsa tidak memakai jaket keselamatan.

Rakaman turut menunjukkan perahu kedua yang juga sarat dengan peserta karam sejurus tiba di tempat kejadian.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan kira-kira 40 orang diselamatkan dengan usaha menyelamat ditamatkan jam 10 malam (waktu tempatan).

AFP memetik pihak berkuasa di Guilin berkata, penduduk kampung menganjurkan sesi latihan tanpa memaklumkan polis. Susulan itu, dua individu ditahan untuk membantu siasatan.

Festival perahu naga disambut setiap tahun dengan perlumbaan itu, bagi memperingati penyajak Qu Yuan yang dikatakan mati apabila melemaskan diri dalam sungai selepas difitnah menderhaka.

Perlumbaan perahu naga popular di beberapa negara Asia dan festival itu, yang akan diadakan pada 18 Jun ini di China, diiktiraf sebagai cuti tradisional negara itu.
- Agensi

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 9:08am
d