utama

'Setiap hari anak menangis' - Salma

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"SETIAP hari anak-anak menangis cari bapa mereka. Saya juga kena kuat dan tidak boleh lemah depan mereka. Apa yang saya lakukan hanya mampu berdoa," kata penyanyi Salma.

Dia meluahkan perasaanya itu selepas suaminya, Mohammad Azri Abdullah dipenjara 14 hari dan didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Salma atau Salmah A Asis, 27, berkata dia juga hilang selera makan dan tidur tidak lena sejak suaminya yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim kesembilan itu dijatuhkan hukuman.

Menurut Salma, dia juga perlu tebalkan muka menjayakan persembahan di Desaru, Johor kelmarin kerana itu adalah sumber pendapatannya sekeluarga.

"Dalam hati ini hanya Allah saja tahu. Namun, saya kena kuat dan teruskan bekerja kerana itu mata pencarian. Bukan saja anak-anak, malah saya juga setiap hari menangis.

"Saya buang perasaan malu untuk keluar bekerja kerana sudah dipersetujui lebih awal. Malah malam ini saya ada rakaman lagu baru. Bagi saya, kehidupan perlu diteruskan. Lagi pula, saya lebih tahu suami macam mana," katanya kepada Harian Metro.

Salma popular menerusi lagu Akhirnya, Cinta berkata anak bongsu mereka, Andi Raisya dilihat paling terkesan sejak ketiadaan suaminya di rumah.

"Macam Raisya, tengok saja muka pintu dia sebut Papa. Bangun tidur pun sama. Sebab sudah terbiasa. Kalau dia menangis, saya pun menangis sama.

"Anak lain pun rapat dengan suami. Dia tidak pernah bezakan anak sendiri dengan anak tiri. Dia berikan layanan sama rata.

"Disebabkan itu, saya kesal dan terkilan jika ada yang melemparkan kata-kata negatif terhadapnya. Mereka tidak tahu perkara sebenar dan apa berlaku," katanya.

Dalam masa sama, Salma berterima kasih kepada semua keluarga, rakan dan peminat yang tidak putus memberikan sokongan dan kata semangat.

Terdahulu, akhbar itu melaporkan Azri dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan tirinya dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, dua tahun lalu.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman selepas Azri menukar pengakuan bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu sepatutnya berlangsung.

Berita berkaitan:

Azri AF dijel, denda dera anak tiri

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 12:47pm
d