utama

[UPDATE] Pengsan 15 minit

Oleh Badrul Kamal Zakaria

“SAYA rasa panas sebelum terpelanting seperti ditendang akibat renjatan elektrik itu, dan hanya tersedar daripada pengsan ketika menerima rawatan di klinik kesihatan (Parit Yusof, Muar).”

Begitu kata Mohd Izamuddin Mohammad Tahir, 57, seorang daripada empat mangsa yang terkena renjatan elektrik ketika cuba memasang bendera parti politik berhampiran talian elektrik bervoltan tinggi di Kampung Parit Subari, Muar pada Ahad lalu.

Menurutnya, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu walaupun mengalami patah tulang rusuk, selain melecur pada kedua-dua belah tangan dan perut manakala dahinya turut luka akibat terjatuh di atas jalan tar.

“Sebelum itu, saya dan beberapa rakan ke kawasan kejadian untuk memasang bendera di kawasan jambatan berdekatan dengan talian bervoltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Ketika menaikkan tiang buluh, saya berada atas jambatan bagi membantu menstabilkan tiang, manakala tiga lagi rakan berada di bawah untuk mengangkat tiang berkenaan.

“Secara tiba-tiba saya rasa bahang panas menyambar tubuh sebelum terpelanting beberapa meter seperti kena tendang,” katanya.

Menurutnya, tiga rakannya turut mengalami kecederaan seperti melecur, tetapi keadaan dirinya lebih teruk disebabkan berada di bahagian atas.

“Mengikut kata rakan yang lain, saya pengsan selama 15 minit lalu kami dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Parit Subari, Muar, hari ini.

Dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, empat daripada 10 lelaki yang sedang memasang bendera menggunakan tiang buluh cedera selepas terkena renjatan elektrik daripada talian elektrik bervoltan tinggi di Kampung Parit Subari, Parit Yusof, Muar.

Kejadian itu menyebabkan seorang daripada mangsa patah tulang rusuk manakala tiga lagi mangsa mengalami cedera ringan.

Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku kepadanya ketika memasang bendera parti politik setiap kali pilihan raya diadakan sejak 1980-an.

Katanya, rakan memberitahu mereka ternampak percikan api daripada kabel bervoltan tinggi dan juga bunyi letupan kuat di lokasi kejadian.

“Alhamdulillah, semua rakan-rakan saya selamat dan semuanya dalam keadaan stabil. Saya dan rakan-rakan lain dibenarkan pulang, tengah hari tadi.

“Namun, kecederaan saya agak teruk hingga terlantar di atas katil buat masa ini,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat kepada pemasang bendera parti politik pada pilihan raya ini, katanya, semua pihak sama ada individu atau berkumpulan perlu mengutamakan keselamatan diri masing-masing.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Johor Datuk Baderul Sham Saad ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh memberikan kenyataan kerana ia masih dalam proses siasatan lanjut.

Berita berkaitan

Terpelanting direnjat elektrik

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 8:32pm
d