utama

Kenangan telaga atas bukit

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Nerang: Bermodalkan RM1,000 Che Basri Harun dari Kampung Bukit Kerbau Berguling di sini, mengorek mata air yang terletak di atas bukit kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Di lokasi ini, mereka membina telaga yang membekalkan air ke rumah mereka menggunakan generator bagi kegunaan harian sejak berpindah ke rumah itu dua tahun lalu.

Che Basri dan isterinya, Che Kama Mohd Arshad, 41, perlu mengawal penggunaan air di rumah mereka bagi mengelakkan mesin generator mengalami masalah dan tidak dapat menyedut air.

Akibatnya, mereka terpaksa mendaki sejauh 500 meter untuk memeriksa generator di telaga itu, termasuk pada waktu malam jika keadaan memaksa.

Itu antara keperitan yang terpaksa ditempuhi keluarga ini semata-mata untuk mendapat bekalan air untuk minum, memasak serta kegunaan harian.

Bagaimanapun kini, Che Basri dan Che Kama, serta penduduk lain di sini mampu tersenyum menjelang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini apabila masalah bekalan air ke kampung itu sudah berakhir sejak projek Loji Rawatan Air (LRA) Pokok Sena beroperasi pada November tahun lalu.

LRA itu yang dibina dengan kos RM68 juta itu dibangunkan Kerajaan Persekutuan di atas tapak berkeluasan 2.2 hektar di Kebun 500 mempunyai kapasiti penghasilan 30 juta liter air terawat setiap hari.

Keluarga Che Basri antara 72,000 penduduk sekitar daerah Pokok Sena, utara Pendang dan selatan Padang Terap, yang mendapat nikmat, hasil inisiatif kerajaan negeri menunaikan janji menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah, dengan bantuan Kerajaan Persekutuan.

Menceritakan semula pengalamannya, Che Basri berkata, ketika rumah mereka siap untuk diduduki dua tahun lalu, masalah utama dihadapi adalah tiada bekalan air.

Akibatnya, dia terpaksa membasuh baju di kedai dobi walaupun ketika itu sudah membina telaga kerana perlu berjimat.

“Walaupun saya bergantung kepada air telaga yang dibina di atas bukit berhampiran rumah, namun kami sekeluarga perlu mengawal penggunaannya kerana jika mesin mengalami masalah untuk menyedut air, saya terpaksa mendaki semula ke atas bukit.

“Bukan senang nak mendaki setiap hari jika mesin berkenaan mengalami masalah, jadi kami perlu mengawal penggunaannya,” katanya ketika ditemui.

Che Basri berkata, kini semua keperitan itu sudah berlalu dan keluarga serta penduduk di kampung itu bersyukur kerana mampu menikmati bekalan air yang sempurna sejak projek LRA Pokok Sena mula beroperasi.

Malah, anak-anaknya juga tidak perlu lagi bimbang dengan masalah bekalan air setiap kali pulang ke kampung.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) serta Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) kerana menyelesaikan masalah air di kampung kami,” katanya.

Kedah sasar atasi masalah bekalan air menjelang 2020

Projek Loji Rawatan Air (LRA) Pokok Sena yang mula beroperasi November lalu kini berjaya menyelesaikan masalah tekanan air rendah dialami 72,000 penduduk sekitar daerah Pokok Sena, utara Pendang dan selatan Padang Terap.

Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Air Darul Aman (SADA), Ahmad Hakimi Abu Bakar berkata, LRA yang dibina dengan kos RM68 juta dengan kapasiti penghasilan 30 juta liter air sehari itu berjaya menyelesaikan penduduk yang berdepan masalah air terutama bekalan terputus dan tekanan air rendah.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat hampir 13,000 akaun pengguna yang berdaftar dengan SADA bagi penduduk di daerah Pokok Sena.

“Apabila LRA Pokok Sena mula beroperasi, LRA Bukit Pinang yang sebelum ini menyalurkan bekalan air kepada penduduk di daerah Pokok Sena kini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menampung penggunaan bekalan air penduduk Alor Setar.

“Dengan bantuan Kerajaan Persekutuan, SADA membina LRA Pokok Sena dengan kos sebanyak RM68 juta bagi menyelesaikan masalah air di daerah Pokok Sena dan daerah lain,” katanya ketika ditemui.

Katanya, sebelum ini, terdapat kawasan di sekitar daerah Pokok Sena seperti Kampung Bukit, Kampung Panchor, Felda Bukit Tembaga dan sekitar hanya menerima bekalan air melalui lori tangki yang dihantar pihak SADA.

“Langkah itu terpaksa diambil oleh SADA bagi membantu penduduk di kawasan itu mendapat bekalan air.

“Kini, selepas LRA Pokok Sena beroperasi, pengguna di kawasan itu sudah menerima bekalan air melalui paip, manakala kawasan yang mengalami tekanan air rendah, bekalan air dalam keadaan baik dan tekanan stabil,”katanya.

Projek LRA Pokok Sena adalah satu komponen tindakan kerajaan negeri dengan bantuan geran dan pinjaman dari Kerajaan Pusat menyelesaikan masalah bekalan air Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini membentangkan beberapa langkah segera untuk mengatasi masalah bekalan air di Kedah menjelang tahun 2020.

Satu daripada komponen penting inisiatif ini adalah projek menaik taraf lima loji rawatan air dengan kos RM928 juta yang sudah bermula dan dijangka disiapkan pada 2020.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 4:33am
d