utama

9 maut van rempuh pejalan kaki

Oleh Reuters

SEMBILAN maut, 16 cedera selepas van merempuh laluan pejalan kaki di jalan yang sibuk di bandar raya Toronto, ketika waktu makan tengah hari.

Bagaimanapun, pihak berkuasa enggan mengulas lanjut mengenai punca kejadian yang mendorong lelaki memandu van sewa milik Ryder System Inc ke arah pejalan kaki pada 1.30 petang (waktu tempatan), semalam.

Menurut polis, lelaki terbabit berjaya ditahan daripada meneruskan tindakannya yang dianggap disengajakan itu.

Media tempatan yang memetik seorang saksi melaporkan, suspek dipercayai sengaja mensasarkan mangsa ketika merempuh laluan pejalan kaki sejauh 1.6 kilometer itu.

“Siasatan ini akan mengambil masa yang panjang,” kata Timbalan Ketua Polis Toronto, Peter Yuen pada sidang media selepas mengumumkan jumlah kematian mangsa dalam insiden itu.

Sementara itu, pihak hospital berkata, lima mangsa yang kini dirawat di Pusat Perkhidmatan Kesihatan Sunnybrook berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan serius yang dialami.

Menteri Keselamatan Awam Kanada, Ralph Goodale pula enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai faktor yang mendorong kejadian itu. - Reuters

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 8:28am
d