utama

Klasiknya lagu Undilah [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

TAHUN ini genap 63 tahun usia lagu berjudul Undilah ciptaan dan dendangan Allahyarham Datuk Zainal Alam Zainul Abidin namun auranya masih berbisa dan mesejnya berjaya disampaikan kepada orang muda khasnya generasi Y (Gen Y).

Rakaman lagu penuh nilai klasik dalam visual hitam putih berdurasi 4 minit 37 saat itu, kembali tular di media sosial terutama YouTube menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Bagi generasi muda, mungkin tidak ramai mengetahui sejarah lagu itu yang popular ketika penganjuran wayang pacak terbitan Malayan Film Unit serta corong Radio Malaya di seluruh Tanah Melayu.

Ia diputarkan buat pertama kalinya tiga bulan sebelum tarikh Pilihan Raya Pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 1955 bagi menyampaikan mesej perpaduan dan menyuntik kesedaran tentang kepentingan menunaikan tanggungjawab memilih tampuk pemerintahan.

Anak bongsu kepada ikon penyiaran itu, Zainal Akhiruddin, 59, berkata, lagu berkenaan yang pernah mencetuskan suasana ceria dan menggamatkan suasana pilihan raya zaman itu, bukan bagi tujuan kempen parti politik sebaliknya menguar-uarkan tentang tanggungjawab kepada rakyat yang pertama kali mengundi.

“Menerusi lagi itu arwah bapa menghidupkan suasana sebelum pilihan raya, meskipun pada waktu itu masyarakat belum faham apa itu demokrasi atau kenapa kena pangkah. Tapi lagu itu berjaya sampaikan mesej dengan berkesan.

“Selama tiga bulan sebelum hari mengundi lagu ini dimainkan setiap kali ada penganjuran wayang pacak, hasilnya orang ramai bersemangat hingga ada membeli baju baru untuk mengundi seolah-olah hendak sambut hari raya.

“Pada hari mengundi semua orang seronok macam pesta, kalau jumpa penyokong parti lain pun kita masih boleh melawak, angkat tangan dan tidak bermusuhan meskipun berbeza pendapat dalam politik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Menurutnya, lagu klasik berkenaan dilihamkan bapanya bersama datuknya Allahyarham Zainul Abidin Sultan Mydin selepas menerima amanat daripada Tunku Abdul Rahman.

“Tidak ramai tahu, sebenarnya ‘tok’ (Datuk) saya dan Tunku berkawan baik mereka belajar sama-sama di London. Jadi Tunku mengamanatkan bapa membawakan lagu ini untuk menyuntik semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan rakyat untuk keluar mengundi pada pilihan raya pertama.

“Lagu ini dicipta bapa bersama tok saya dengan meletakkan elemen rentak boria selain dimasukkan sedikit samba untuk menjadikannya rancak.

“Berbeza dengan kepantasan teknologi sekarang, cara dahulu memang mengambil masa, tetapi bapa berjaya siapkan dalam masa 30 hari saja kerana terikat dengan masa ditetapkan British yang menguasai keseluruhan teknikal penyiaran dan studio rakaman pada masa itu,” katanya.

Katanya, ketika hayat bapanya bukan sekadar memenuhi tuntutan tugas sebagai juruhebah radio, malah dilantik sebagai Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bahagian utara.

“Arwah seorang penyiar berjiwa patriotik yang sangat berpengaruh dalam menerapkan nilai perpaduan kepada rakyat. Setiap kali buat wayang pacak, bapa pakai baju Melayu jadi ada orang tidak setuju dengan dia dan mempertikaikan kenapa orang India pakai baju Melayu sedangkan dia sebenarnya orang Melayu yang lahir di Malaysia cuma kulitnya gelap sedikit.

“Tapi cara dia menyampaikan lagu dengan loghat utara (Pulau Pinang) dalam gaya yang cukup senggang, menghiburkan dan menyeronokkan amat unik serta kreatif sambil membawa tong keluar dari balik tirai tidak ada orang di dunia buat macam itu.

“Zaman itu tak ada pemberita, tak ada sistem bunyi dan muzik yang hebat, tetapi dia boleh laksanakan penyiaran dan rancangan hiburan secara langsung serta menyampaikan mesej dengan berkesan sekali,” katanya.

Zainal Akhiruddin berkata, selepas bapa meninggal dunia pada 1991, mereka sekeluarga diberikan salinan hasil ciptaan lagu bapanya termasuk Undilah yang masih disimpan dengan elok.

“Dulu hanya kami adik-beradik saja tahu lagu ini sebab kerap ulang tengok video bapa, sebelum Tun Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan lagu bapa diputarkan di corong radio dan televisyen pada zaman pemerintahannya dulu.

“Sejak itu, ramai orang tengok video ini bila ia dimuat naik ke YouTube dan muncul di media sosial setiap kali tiba musim pilihan raya. Seolah-olah bapa yang mencipta tempo, lirik dan menyampaikan dengan gimik tersendiri dalam lagu ini diberikan ‘anugerah’ lima tahun sekali.

“Saya rasa lagu ini amat menyatu padukan rakyat, baik orang lama yang sememangnya tahu lagu itu dan orang muda yang komen kata mereka seronok mendengarnya,” katanya.

Menurutnya, masyarakat kerap terkeliru dengan judul lagu sebenar bapanya Undilah dengan Mari Mengundi dendangan Jamaludin Alias.

“Saya pernah membetulkan tajuk lagu itu, tetapi orang masih keliru mungkin nama bapa saya tidak dipaparkan dalam video itu.

“Kami juga tidak pernah berkecil hati, biarpun lagu bapa sekadar dalam YouTube dan jarang berkumandang di corong radio pada masa ini.

“Kami anggap itu pencapaian kerjaya bapa dan kami sedar liriknya, ‘Julai 27 hari bulan’ itu tidak sesuai mengikut peredaran masa yang boleh mengelirukan orang keluar mengundi pada tahun semasa,” katanya.

Katanya, selepas Undilah bapanya juga diamanahkan Tunku Abdul Rahman menghasilkan pelbagai lagu berunsurkan patriotik, kesejahteraan dan kasih sayang untuk menyuntik elemen perpaduan kepada rakyat terutama selepas kemerdekaan.

“Sebenarnya selain Undilah, ada lagu sempena pilihan raya dihasilkan dalam versi bahasa Inggeris berjudul ‘Vote, Vote, Vote’. Bapa juga mencipta lagu Bunga Malaya sempena perisytiharan bunga raya sebagai bunga kebangsaan Tanah Melayu selepas kemerdekaan.

“Sepanjang hayatnya bapa menghasilkan 15 lagu berunsurkan kesejahteraan, semangat muhibah dan kasih sayang antaranya lagu Susu, Durian, Saloma dan Rose Rose I Love You yang didendangkan dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin serta Tamil,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 10:14pm
d