utama

Nazeera bangga sokongan peminat

Oleh Ardini Sophia Sina

Namanya mungkin tidak segah pelakon popular lain, tetapi peminat Nazeera Sardi dari Singapura sanggup datang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri pelancaran baju raya dan produk penjagaan kulit miliknya, baru-baru ini.

Pelakon itu meluahkan rasa gembira dan terharu atas sokongan peminat terhadap kerjayanya.

Katanya, dia tidak menyangka kasih sayang peminat terhadapnya sangat besar.

“Sebelum ini pun ada yang sanggup datang dari Singapura untuk menghadiri aktiviti yang saya jalankan bersama peminat. Saya sebenarnya tidak sangka kasih sayang mereka sehingga ke hari ini tidak pernah pudar.

“Saya bukanlah pelakon popular dan punya nama besar dalam industri hiburan. Namun, saya bangga mempunyai kelompok peminat yang sentiasa memberikan sokongan,” katanya.

Nazeera sedikit pun tidak rasa terbeban apabila namanya belum cukup dikenali walaupun sudah enam tahun bergelar pelakon.

Malah, dia bersyukur kerana masih menerima tawaran berlakon dan rezekinya tidak putus.

“Rezeki saya tidak putus-putus. Itu sudah cukup untuk saya. Walaupun tidak terkenal, saya masih menerima peluang berlakon. Saya bersyukur kerana ada beberapa impian yang sudah terlaksana,” katanya.

Nazeera mula mendapat perhatian selepas memegang watak antagonis dalam drama Memori Cinta Suraya. Dia terus cemerlang apabila berganding dengan Ungku Ismail menerusi drama bersiri Pembancuh Kopi Mr Vampire.

Nazeera terus memacu kerjaya seninya apabila muncul sebagai penyanyi dengan single pertama berjudul Tetap Ada Cinta hasil ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatanna.

Melihat bidang diceburi itu, katanya, dia kini ingin fokus pada kuliah yang berbaki satu semester saja lagi.

“Berlakon sudah, menyanyi pun sudah ada single. Butik pun sudah saya buka kerana memang dari dulu minat berniaga. Sekarang ini saya ingin fokus pada kuliah. Masih ada satu semester lagi sebelum saya tamat pengajian sarjana dalam Pengurusan Perniagaan.

“Sekarang ini saya berjaya imbangi semuanya. Saya masih berlakon dan terus mempromosikan Tetap Ada Cinta. Perniagaan juga berjalan seperti biasa. Saya ada cadangan menyertai Celebfest di Singapura pada tahun ini,” katanya.

Ditanyakan cadangan menghasilkan lagu kedua, kata wanita itu, dia masih dalam tempoh mempromosikan single pertama. Walaupun perkara itu sudah difikirkan namun ia tidak akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 2:36am
d