utama

Lan tak sindir Rody Kristal

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BEKAS penyanyi kumpulan rock Kristal, Mohd Razlan Mohamed Yusof, yang kini dikenali sebagai Lan Solo menafikan menyindir Rody, pemain gitar utama kumpulan ini dalam muzik video lagu Berpisah Tanpa Rela yang menjadi single pertamanya selepas bergerak solo.

Menerusi muzik video terbitan MVM Production ini, digambarkan seorang lelaki berwatak antagonis, berpakaian hitam dan berambut panjang separas bahu serta bertopeng cuba mengganggu gugat percintaan Lan dan pasangannya.

Jika diperhatikan, ia seakan-akan sinonim dengan iras Rody yang bertindak selaku ketua kumpulan Kristal.

"Saya sudah review muzik video ini sebelum ditayangkan dan dari pemahaman saya ia adalah gambaran diri saya sebelum ini dan selepasnya.

"Bagi saya kejahatan dan kebaikan hanyalah simbolik pada penonton sahaja. Itu adalah pertukaran diri saya dahulu dan sekarang.

"Watak hitam itu ibarat cuba mengejar saya agar kekal berada di situasi sebelumnya, saya tetap kuatkan diri untuk terus ke hadapan," katanya ditemui ketika pelancaran single terbitan usahasama MVM Production dan Warner Music Malaysia, hari ini.

Lan menegaskan sejak awal pembikinan muzik video itu, dia sudah memaklumkan kepada pengurusan agar mengelakkan sebarang isu sensitif mungkin timbul.

"Sebaik melihat story board, saya bertanyakan lanjut kepada pengurusan dan mereka menjelaskan apa yang dipaparkan hanyalah simbolik.

"Saya tidak nafikan ada netizen yang akan buat sesuatu perbandingan tidak dijangka. Namun saya mengharapkan agar perkara ini tidak berlaku," katanya.

Lan berkata, dia tidak pernah terniat menghasilkan lagu bertujuan menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak.

"Saya mengakui mulanya buat lagu itu dengan menggambarkan kisah cinta normal yang ada perpisahan. Tetapi apabila orang dengar dan hayati bait-bait lirik, mereka pasti akan kaitkan dengan kisah hidup saya sendiri.

"Saya terpaksa mengaku saya menjiwai lagu itu daripada hati saya sendiri. Kalau cerita soal perpisahan, saya tidak menipu kesannya masih terasa.

"Tetapi nanti orang akan cakap saya tidak 'move on' pula. Saya memang dah okay, cuma kesannya masih terasa," katanya.

Lan berkata, tidak salah untuk dia teringatkan bekas kumpulannya kerana mereka bermula dalam seni sejak usia sembilan tahun.

"Setiap kali tengok di YouTube dan baca kisah berkenaan sesebuah kumpulan rock atau contohnya ketika pergi sesebuah majlis anugerah, terasa seronoknya.

"Saya pun dah tutup buku kisah kami. Cuma, ini sekadar luahan dalam lagu. Saya nak abadikan kenangan dalam lagu ini," katanya.

Lan, pernah menganggotai Kristal selama 18 tahun sebelum tampil menyertai pertandingan Gegar Vaganza ke-4 yang menimbulkan krisis antaranya dengan anggota lain.

Situasi panas ini mengundang Rody membuat keputusan 'merehatkannya' dan sebagai tindakan susulan, Lan mengumumkan mengundur diri daripada Kristal pada November tahun lalu.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 1:05pm
d