utama

'Kayveas dah dipecat rupanya'

Oleh Fahmy Azril Rosli

MAJLIS Tertinggi MyPPP tampil menjelaskan bahawa Tan Sri M Kayveas sebenarnya dipecat sebagai presiden berikutan tindakannya menyalahgunakan parti untuk agenda peribadi.

Penjelasan itu dibuat bagi menjawab kenyataan Kayveas hari ini yang meletakkan jawatannya sebagai presiden MyPPP dan beberapa jawatan lain.

Tampil menjelaskan hal itu, Timbalan Setiausaha Agung MyPPP, Datuk Simon Sabapathy berkata, kepemimpinan tertinggi sudah bertindak memecat Kayveas terlebih dahulu sebelum beliau memutuskan untuk meletak jawatannya sebagai presiden parti lagi.

Bagaimanapun, Simon mengesahkan ada menerima surat peletakan jawatan oleh bekas timbalan menteri itu hari ini.

Beliau berkata, surat pemecatan Kayveas sudah pun dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertarikh 24 April lalu.

Katanya, surat itu jelas menyatakan beberapa tindakan dan juga kenyataan oleh Kayveas yang berisiko menyebabkan kerosakan hubungan antara MyPPP dengan BN serta parti komponen lain.

“Majlis Tertinggi parti sudah mengadakan pertemuan dan memutuskan Kayveas tidak sepatutnya bertindak bersendirian mengenai sesuatu perkara yang penting seperti agihan kerusi tanpa perbincangan dengan Majlis Tertinggi parti.

“Ini bertentangan dengan perlembagaan parti. Jadi kita putuskan Kayveas akan dipecat,” katanya pada sidang media tergempar hari ini.

Sidang media itu bagi menjawab ‘kejutan’ Kayveas menerusi satu status yang dimuat naik di akaun Twitternya pagi tadi bahawa beliau meletakkan jawatannya sebagai Presiden MyPPP.

Beliau turut melepaskan jawatannya sebagai Penasihat Kerajaan Negeri Perak dan Pengerusi MyPPP Wilayah Persekutuan.

Peletakan ketiga-tiga jawatan itu dakwanya berkuatkuasa 23 April lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung MyPPP, Mohan Kandasamy berkata, sebelum Kayveas mengumumkan peletakan jawatannya, beliau tidak menerima sebarang surat.

Namun, katanya, apabila Majlis Tertinggi MyPPP memutuskan untuk mengadakan sidang media hari ini bagi mengumumkan pemecatan Kayveas, baru surat itu sampai kepadanya.

Susulan pemecatan Kayveas, Mohan mengumumkan bahawa Naib Presiden MyPPP, Maglin D’Cruz akan menjalankan tugas-tugas Presiden.

Sebelum ini media melaporkan, MyPPP akan mempertimbang semula keahliannya sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN).

Tindakan itu susulan Kayveas gagal mendapatkan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang didakwanya sudah menggerakkan jentera di kawasan itu sekian lama.

Secara tradisinya, kerusi Parlimen Highlands diperuntukkan kepada MIC dan kelmarin sah bahawa kawasan itu bakal ditandingi oleh Ketua Pemudanya, Datuk C Sivaraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 3:51pm
d