utama

'Tak lamar, tak beri cincin' - Kamal Adli

Oleh Rudy Imran Shamsudin

"MANA ada saya melamar Emma kat atas bukit tu," jelas aktor Kamal Adli.

Kata katanya itu sekaligus menafikan dia memberikan cincin tanda sewaktu meraikan ulang tahun 'teman tapi mesra' juga pelakon popular Emma Maembong sempena hari jadi yang ke-26 pada akhir Mac lalu.

Kejutan meraikan hari jadi Emma atas bukit, dengan pemandangan indah mengadap pusat bandar dilakukan Kamal yang kemudian dimuat naik rakamannya di media sosial.

Ia mendapat perhatian umum dan ramai memuji apa yang dilakukan Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli itu sangat romantis.

Kamal berserta teman-temannya menghias kawasan puncak bukit terbabit dengan cahaya lilin dan lampu pelbagai warna menambah suasana menjadi lebih istimewa.

Dalam dialog rakaman kedengaran Kamal menyebut dia ada beberapa kejutan buat Emma menyebabkan ada membuat andaian pelakon drama Sha & Shah itu menghadiahkan cincin sebagai pengikat cinta antara mereka.

Kamal menegaskan tidak mungkin dia berbuat demikian dan apa yang dilakukan itu hanya untuk meraikan hari istimewa temannya.

"Kalau saya mahu beri cincin saya akan melakukannya mengikut adat. Saya tidak akan memandai sendiri.

"Saya tidak akan sesekali membelakangkan kedua orang tua kerana itu dianggap langkah besar apatah lagi ibu bapa Emma sendiri," katanya.

Jelas Kamal dia berasa gembira kerana rancangannya untuk meraikan Emma di puncak bukit dapat direalisasikan walaupun agak susah untuk dilaksanakan.

Kamal berkata majlis dilakukan dengan bantuan teman-teman yang turut sama mahu meraikan Emma.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 4:46pm
d