utama

Derita kunyah bunga

Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Dipaksa ‘menjamah’ puluhan kelopak bunga ros, mengunyah garam dan berendam dalam ais lebih sejam antara ‘derita’ terpaksa diharungi sebuah keluarga ketika mendapatkan khidmat rawatan seorang bomoh penipu.

Mangsa, Farzanah Zakiuddin, 28, berkata lelaki sama turut menyamar ahli perniagaan, perunding syarikat dan pelbagai jawatan lain sebelum tembelangnya terbongkar kelmarin.

Katanya, suspek berusia 40 tahun itu ditahan polis di Kampung Pujut Adong di sini, tengah hari kelmarin selepas didakwa memperdayakan sekurang-kurang 500 mangsa yang mahu bekerja di syarikat minyak dan gas yang tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM200,000.

“Sebelum ditahan polis, lelaki itu pernah menetap bersama keluarganya di Kluang, Johor pada 2016. Sebelum ini, lelaki itu pernah ditawarkan bekerja sebagai pekerja am dengan syarikat sewa kanopi keluarga pada Mac 2016 dan dia menetap di rumah sewa kami.

“Bagaimanapun, dia kemudian mendakwa ibu saya terkena ‘buatan’ orang dan perlu ‘dibersihkan.’ Lama-kelamaan, saya dan seluruh keluarga didakwanya turut disihir dan perlu ‘dibersihkan’ dan dia menawarkan diri untuk merawat kami,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, kelmarin.

Beliau berkata, keluarganya seolah-olah terpukau dan hanya mengikut kemahuannya termasuk dipaksa ‘menjamah’ bunga ros, mengunyah garam kasar malah dipaksa berendam di dalam air berais selama lebih sejam setiap kali rawatannya selama tujuh bulan.

“Memang perit sehingga saya dan keluarga termuntah bagi memenuhi syarat gilanya,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh itu dia dan keluarga membelanjakan hampir RM130,000 kepada lelaki termasuk membeli segala kelengkapan yang dimintanya.

“Alhamdulillah, pada Oktober 2016, saya mula menyedari helah liciknya dan menerangkan kepada keluarga bahawa mereka hanya menjadi mangsa penipuan.

“Kami kemudian sepakat menghalaunya dari rumah,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 5:29am
d