utama

[UPDATE] Tragedi tayar pancit

Oleh Farah Suhaidah Othman

NIAT tiga anggota polis yang juga peronda lebuh raya membantu lelaki yang keretanya pancit di Kilometer 223.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Changkat Jering, Taiping, berakhir tragedi apabila dirempuh lori, hari ini.

Kemalangan 8.30 pagi itu membabitkan sebuah lori yang merempuh dua kereta termasuk sebuah kereta peronda polis dan mengakibatkan seorang lelaki, Muhammad Hakeem Badrol Hisham, 21, maut dan dua anggota polis patah kaki, manakala seorang lagi terselamat.

Pemandu lori berusia 35 tahun berasal dari Kulim, Kedah pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Honda Civic dipandu seorang lelaki dan kereta peronda polis jenis Proton Waja bersama tiga koperal polis serta sebuah lori dinaiki seorang lelaki.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta peronda polis berhenti dibahu jalan bagi memberi bantuan kepada pemilik Honda Civic yang mengalami tayar pancit.

"Semasa memberi bantuan, lori yang datang dari arah Kuala Kangsar dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang kereta peronda dan juga melanggar belakang Honda Civic yang berada di hadapan.

"Kenderaan polis itu diseret sejauh kira-kira 70 meter dibahu kiri jalan manakala Honda Civic terbabas ke tengah jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan pemandu Honda Civic, Muhammad Hakeem yang juga pelajar kolej swasta dan beralamat di Kampung Tersusun Jalan Gula, Simpang Empat, di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Koperal Khairul Zulhamie Mat Deris, 29, yang juga pemandu kereta peronda patah kaki kiri, manakala Koperal Mohd Zamri Zainal, 47, patah kaki kanan dan Koperal Yaacob Udin, 53, terselamat.

"Anggota polis yang cedera kini dirawat di Hospital Taiping dan mangsa yang maut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat," katanya.

Mohamad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kawasan berkenaan adalah jalan sedikit selekoh, sistem sehala dan bahu jalan juga berturap tar.

"Keadaan jalan sibuk dan hari siang serta tiada kamera litar tertutup (CCTV) dikesan di tempat kejadian. Kemalangan menghalang lalu lintas dan dikawal anggota trafik lebuh raya," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Satu maut, 3 polis trafik cedera

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 2:35pm
d