utama

Jamal teringin anak lelaki lagi

Oleh Ramlah Zainal

RAJA Pop, Datuk Jamal Abdillah, 59, mengakui usia bukan penghalang buatnya untuk menambah cahaya mata sekali gus mengukuhkan lagi ikatan rumah tangga yang baru dibina.

Menurut penyanyi popular lagu Kekasih Awal dan Akhir ini, dia dan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 24, kini berusaha untuk memiliki cahaya mata yang diimpikan ketika ini.

“Saya akui bakal mencecah usia warga emas iaitu 60 tahun tetapi selepas berkahwin dengan Zai Izzati, saya berasa diri kembali muda dan bertenaga.

“Kalau usia 80 tahun pun saya tetap nak tambah anak juga.

“Rumah tangga kami juga bahagia ketika ini walaupun perbezaan usia 35 tahun.

“Saya memang sukakan kanak-kanak dan memang berhasrat untuk mendapat anak lelaki lagi pada tahun ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jamal, isterinya, Zai Izzati pernah mengalami keguguran tiga bulan lalu selepas usia kandungannya mencecah 16 minggu.

“Kami reda dengan berita sedih itu tetapi tidak akan berputus asa dan berdoa untuk mendapatkan anak lagi.

“Kami percaya ada rezeki dari Allah SWT untuk kami mendapatkan anak nanti.

“Sebab saya memang mahukan anak lelaki selepas memiliki dua anak iaitu Osama dan Zaki dari perkahwinan terdahulu,” katanya.

Jamal berkata selepas majlis Luncheon With The Stars bersama penyanyi Dayang Nurfaizah sempena sambutan Minggu Setiausaha di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi, semalam.

Ditanya perkembangan dua anaknya, Osama Yamani, 17, dan Ahmad Zaki Yamani, 11, kata Jamal, mereka kini berjauhan sejak dia berkahwin dengan Zai Izzati.

“Saya dan isteri kini menetap di kediaman kami di Ipoh, Perak.

“Osama pula masih menuntut di Sekolah Seni di Johor Bahru dan Zaki pula dijaga bekas isteri di Shah Alam.

“Terus terang, saya berasa kehilangan kasih sayang anak-anak kerana kami hanya dapat meluangkan masa bersama ketika musim cuti sekolah saja,” katanya.

Jamal dan Zai Izzati melangsungkan pernikahan pada 1 April tahun lalu.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 5:36pm
d