utama

[UPDATE] 'Selamat berehat wahai anak syurga'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

SUASANA pilu menyelubungi upacara pengebumian Allahyarham Muhammad Qayyum Roslizam, 6, di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Bagan Serai, Jalan Jeti, Bagan Serai, hari ini.

Muhammad Qayyum yang menderita kanser Neurobalstoma tahap empat, disahkan meninggal dunia pada 11.30 pagi tadi di rumah ibu bapanya di Taman Serai Maju, Bagan Serai.

Jenazah anak pasangan Roslizam Mat Hitam, 40, dan Herlinda Abdul Rahim, 34, itu terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Jamek Bagan Serai selepas solat Asar.

Upacara pengebumian dihadiri 200 orang terdiri daripada keluarga, saudara mara, kenalan keluarga dan penduduk setempat itu dilakukan pada 5.20 petang.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan derita ditanggung Muhammad Qayyum akibat penyakit kanser Neuroblastoma tahap empat sukar digambarkan.

Keadaan kanak-kanak itu begitu teruk termasuk kedua-dua matanya membengkak dan tersembul hingga menjejaskan penglihatannya manakala tubuhnya kurus dan tidak lagi mampu berjalan.

Bapanya, Roslizam yang juga anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai berkata, penyakit anak kedua daripada tiga beradik itu mula dikesan penghujung 2014 apabila matanya kelihatan bengkak seperti ada ketumbuhan.

Menurutnya, selain rawatan hospital, dia dan keluarga turut berusaha merawat penyakit menggunakan kaedah rawatan tradisional, namun keadaan Muhammad Qayyum semakin membimbangkan dan sering menangis kerana kesakitan.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Qayyum sudah dijemput Ilahi'

'Berat sungguh derita mu Qayyum...[METROTV]'

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 9:46pm
d