utama

'Bertuah pusara ibu tepi rumah je...'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“BIARPUN arwah ibu sudah meninggal dua tahun lalu, namun semangatnya sentiasa bersama kami sekeluarga...maklumlah pusara arwah hanya terletak di tepi bilik saya,” kata Zakari Zakaria, 40, ketika ditemui di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, hari ini.

Zakari berkata, berbanding orang lain, dia bertuah kerana ibunya, Wok Musa, 65, yang meninggal pada 2 Januari 2016 dikebumikan di perkuburan yang hanya terletak bersebelahan rumahnya.

“Arwah ibu seolah-olah bersama kami pada setiap hari, malah saya tidak perlu bersusah payah seperti orang lain untuk menziarahi pusara ibu kerana sentiasa melihatnya pada setiap hari.

“Apabila berada dekat dengan pusara ibu, kami sebagai anak sentiasa mengingati arwah dan berdoa untuknya malah kebersihan pusaranya terjaga dengan baik,” kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Zakari berkata, sudah menjadi rutin dia sekeluarga menjenguk pusara arwah sama ada berada di pusara atau melihatnya melalui tingkap pada setiap hari sebelum keluar berkerja sambil berdoa untuk kesejahteraan arwah ibu.

“Saya berasa bertuah kerana pusara ibu berada berhampiran dengan rumah, sekali gus membuatkan saya sentiasa mengingatinya.

“Sesetengah orang mungkin hanya berpeluang menziarahi pusara ibu atau keluarga mereka pada Ramadan atau 1 Syawal sahaja, tetapi bagi kami sekeluarga, menziarahi pusara ibu sudah menjadi rutin harian,” katanya.

Zakari berkata, selain pusara arwah ibunya, lebih 10 ahli keluarga lain termasuk abang dan adiknya yang meninggal ketika lahir turut dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan.

Menurutnya, dia menyimpan hasrat dan sentiasa berpesan kepada ahli keluarga supaya mengebumikannya di kawasan berhampiran pusara ibu di tanah perkuburan itu sekiranya masih ada tempat kosong.

“Biarpun arwah bapa, Zakaria Mamat dikebumikan di tempat lain, saya serta adik beradik lain kerap menziarahi pusara arwah ayah,” katanya.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, Islam memang menggalakkan amalan menziarahi pusara keluarga yang sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, ia sebagai ingatan anak terhadap ibu atau ayah, malah Islam menuntut anak atau ahli keluarga mendoakan kesejahteraan ibu bapa yang sudah meninggal dunia.

“Tiada masalah untuk mendoakan arwah ibu, bapa atau keluarga di tepi tingkap memandangkan pusara mereka berdekatan dengan rumah.

“Amalan itu tidak bercanggah, namun umum perlu tahu dalam bab menziarahi pusara atau kubur, Islam menetapkan adab tertentu yang perlu diikuti,” katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 12:17am
d