utama

Tumpuan pelancong kesihatan

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Sektor penjagaan kesihatan negara semakin mendapat pengiktirafan dunia, malah antara penyumbang utama pendapatan Malaysia susulan usaha kerajaan menambah baik dasar, kepakaran dan mempromosikannya secara aktif.

Lebih membanggakan, pelbagai inisiatif membabitkan penjagaan kesihatan menerusi Program Transformasi Negara (NTP) berjaya mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan dan kesihatan tiga tahun berturut-turut sejak 2015.

Pengiktirafan diberikan International Medical Travel Journal (IMTJ) itu turut menjadikan Malaysia pilihan pelancong kesihatan dari negara jiran seperti Indonesia, Myanmar, China dan Vietnam bagi mendapatkan rawatan perubatan lebih baik.

Kejayaan itu sekali gus meningkatkan kutipan hasil hospital negara kepada RM1.3 bilion dengan jumlah pelancong kesihatan melebihi sejuta orang, tahun lalu.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Ravindran R Naidu berkata, kerajaan sangat komited memberi tumpuan pada pelancongan kesihatan sehingga tertubuhnya Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk mengawasi dan menyelaras aktiviti pelancongan kesihatan.

Beliau berkata, majoriti pelancong kesihatan bersedia datang ke negara ini bagi mendapatkan rawatan lebih berkualiti tinggi dan profesional, selain harga ditawarkan berpatutan.

“Sasaran utama pelancong kesihatan adalah dari negara jiran seperti Indonesia dan Myanmar kerana seperti yang kita sedia maklum, penjagaan sektor kesihatan awam di negara berkenaan sesak serta tidak selesa.

“Tambahan pula, perkhidmatan kesihatan di negara berkenaan tidak moden dan canggih seperti yang ditawarkan di Malaysia,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, antara jenis rawatan yang menjadi permintaan pelancong kesihatan ialah rawatan pembedahan jantung, kanser dan pembedahan plastik.

“Terdapat juga segelintir pelancong kesihatan yang datang bukan untuk mendapatkan rawatan, sebaliknya hanya membuat pemeriksaan awal atau mendapatkan khidmat nasihat.

“Melalui latihan disediakan dan tenaga pengajar berdedikasi serta komited, kita percaya penyediaan doktor dan kepakaran di hospital negara ini berada pada tahap terbaik serta memuaskan,” katanya.

Katanya, MMA sentiasa berganding bahu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi berkenaan bagi memastikan amalan perubatan di negara ini berkualiti tinggi serta menepati etika standard perubatan.

Mengulas mengenai caj rawatan semakin meningkat selari peningkatan perkhidmatan kesihatan ditawarkan, Dr Ravindran berkata, kerajaan sentiasa memantau dan mendahulukan keperluan rakyat seperti dengan menubuhkan Klinik 1Malaysia (K1M) serta Klinik Bergerak 1Malaysia (KB1M).

Menerusi pelaksanaan inisiatif NTP juga, Malaysia berjaya menjadi pengeksport ke-14 terbesar produk farmaseutikal di Asia membabitkan lebih 50 negara pengimport.

Bagi kesejahteraan kesihatan warga emas pula, fokus dan jaminan kepada golongan itu turut dilaksanakan dengan menggubal Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta untuk mengawal selia pusat penjagaan warga emas swasta.

Di bawah inisiatif berkenaan, kerajaan memperkenalkan Eden on The Park, iaitu pembinaan kediaman canggih dan bersepadu untuk persaraan serta penjagaan di Kuching, Sarawak yang menyediakan 71 kediaman apartmen, 104 unit blok kondominium dan 14 villa setingkat.

Perkhidmatan ‘Love on Wheels’ yang diperkenalkan pula menyediakan perkhidmatan fisioterapi bergerak terus kepada pesakit yang boleh diakses melalui aplikasi mudah alih.

Dalam usaha memajukan penyelidikan klinikal di Malaysia, pelancaran Garis Panduan Klinikal Fasa 1 pada tahun lalu membolehkan negara menjalankan ujian fasa awal (bagi penemuan dan pembangunan ubat) di Malaysia.

Bagi mempromosi kepentingan ujian klinikal, CRM melancarkan kempen ‘I AM AWARE’ dan Hari Ujian Klinikal.

Penyelidikan klinikal yang dijalankan menerusi inisiatif berkenaan bakal mengurangkan kos rawatan pesakit Hepatitis C daripada RM320,000 kepada RM1,200 dan memberi manfaat kepada 500,000 orang.

K1M mesra orang kurang upaya

Selain menawarkan kemudahan dan rawatan yang komprehensif, cekap dan pantas, Klinik 1Malaysia (K1M) juga mesra pesakit orang kurang upaya (OKU).

K1M yang beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, termasuk cuti umum dan hujung minggu, hanya mengenakan caj RM1 untuk warganegara dan percuma bagi warga emas.

Seorang peniaga, Mohamad Firdaus Abdul Latif, 33, berkata, beliau memilih mendapatkan rawatan di K1M kerana tidak perlu menunggu lama berbanding rawatan di klinik kesihatan, selain jaraknya yang terletak satu kilometer (km) dari rumah.

“Kemudahan pesakit OKU yang berkerusi roda seperti saya ada disediakan di semua laluan, malah jururawat bertugas juga bersedia menghulurkan bantuan seperti menolak kerusi roda.

“Biasanya, saya ke K1M bagi mendapatkan rawatan menukar tiub air kencing, mencuci luka atau demam kerana perkhidmatan di situ juga berkualiti dan setaraf klinik kesihatan lain,” katanya.

Bagi suri rumah, Majorie Rinyoi, 45, K1M menjadi pilihan keluarganya kerana caj perkhidmatan dikenakan sangat murah, selain tidak perlu berjalan jauh ke lokasi klinik yang terletak kurang 50 meter dari rumah.

“K1M diwujudkan dalam kawasan perumahan flat kami untuk kemudahan penduduk di sini kerana klinik kesihatan paling dekat kira-kira 10km.

“Caj rawatan RM1 bagi semua rawatan dan ubat diberikan kepada pesakit seperti ubat demam, selesema dan batuk, memang sangat berbaloi,” katanya.

Kakitangan swasta, Noorhayati Abu Hassan, 54, yang baru menjalani pembedahan kaki Februari lalu berkata, beliau ke K1M sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk mencuci luka dan membuat pemeriksaan berkala.

“Perkhidmatan di K1M sangat selesa dan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan kerana jumlah pesakit tidak ramai seperti di klinik kesihatan.

“Bagi saya, K1M sangat membantu rakyat mendapatkan rawatan kesihatan yang mudah, cepat dan mesra pesakit kerana terdapat kaunter pertanyaan dan seorang petugas yang sentiasa bersedia membantu,” katanya.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang menyumbang 2.5 tan pisang nangka dan labu manis untuk makanan 32 gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, di sini, semalam.

K1M yang diwujudkan lapan tahun lalu antara inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang mudah diakses dan berkualiti pada kos sangat rendah.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga kini, terdapat 361 K1M di seluruh negara yang terletak di lokasi strategik dan berdekatan kawasan perumahan.

Menurut statistik KKM, sejak K1M beroperasi pada 2010, sebanyak 6.47 juta jumlah lawatan sudah direkodkan.

Antara perkhidmatan disediakan ialah rawatan ringan seperti demam, batuk, selesema, rawatan susulan kes pesakit kronik yang stabil, termasuk penyakit kencing manis, darah tinggi dan prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka dan buka jahitan.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 4:59am
d