utama

'Ustaz Kazim tak jumpa Ultraman pun...'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

KHABAR angin yang mengatakan penceramah bebas terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim bakal bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah tidak benar.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya sudah mendapatkan laporan berkaitan ada yang mengatakan tiga beradik bertanding sebagai calon bebas dan itu tidak benar, malah Datuk Mohd Najmuddin menghantar mesej kepada saya, begitu juga Ustaz Kazim.

“Beliau (Ustaz Kazim) mengatakan tidak tahu siapa yang mereka-reka atau membaca yang tersirat, walhal dia tidak bermaksud begitu.

“Beliau memang suka buat ayat-ayat biasa yang menyeronokkan tetapi ada orang lain menafsir sebaliknya, jadi jangan percaya apa yang disampaikan itu,” katanya.

Zambry berkata demikian ketika mengulas spekulasi membabitkan Ustaz Kazim yang seolah-olah membayangkan perkara itu apabila memuatkan status dalam akaun Instagram dengan gambar beliau seakan berada di lapangan terbang.

Ustaz Kazim dalam Instagramnya beberapa hari lalu memuat naik status 'Nak g jumpa ultraman kejap.. nak tanya pendapat dia nak bertanding ke tidak... Tungguuuu...' yang mendapat perhatian lebih 16,000 pengikut laman sosialnya serta pelbagai komen.

Turut dikhabarkan, dua abangnya Timbalan Ketua UMNO Bahagian Larut Datuk Mohd Najmuddin Elias dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah Ahmad Hasbullah turut menimbang keputusan untuk bertanding bebas seperti yang dilaporkan sebuah akhbar, hari ini.

Zambry berkata, adalah perkara biasa apabila tiba musim pilihan raya pelbagai perkara cuba ditimbulkan dalam usaha untuk mengalihkan perhatian dalam menyokong Barisan Nasional (BN).

“Ustaz Kazim juga menyatakan beliau seorang pendakwah yang lebih suka berada di luar lingkungan politik, tetapi memberikan pandangan (yang membawa) kebaikan kepada masyarakat,” katanya.

Zambry ditemui selepas majlis penyampaian surat tawaran kelulusan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Sungai Tiram, Lekir, hari ini membabitkan lebih 300 penerima.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan surat tawaran kepada 116 penerima masyarakat India pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kelulusan Hak Milik Individu di kawasan 5 Lot Kampung Deralik di Dewan Ladang Sungai Wangi, Sitiawan.

Sementara itu, beliau berkata, pemberian surat berkenaan adalah usaha dalam memberikan tapak lot rumah kepada penduduk kawasan terbabit yang dibelenggu masalah sejak sekian lama.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 3:58pm
d