utama

Lelaki maut 'berubat' buang saka...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Kalbana Perimbanayagam

LELAKI menemui ajal akibat parah pada badan selepas mendapatkan rawatan membuang saka daripada pengamal perubatan tradisional.,

Kematian mangsa, 35, dilaporkan oleh pegawai perubatan yang merawatnya pada 10.10 pagi semalam selepas mendapati terdapat kesan kecederaan serius serta bengkak pada tubuhnya.

Difahamkan, mangsa sebelum itu didakwa mengalami gangguan makhluk halus sejak lebih setahun lalu dan sudah beberapa kali menjalani rawatan tradisional dengan ramai pengamal perubatan.

Namun, tindakannya ‘berubat’ dengan tiga lelaki dan dua wanita yang mengaku sebagai pengamal perubatan tradisional sejak tiga hari lalu, berakhir tragedi apabila mangsa mengalami pendarahan dalaman teruk termasuk organ dalaman pecah.

Ini berikutan mangsa didakwa ditumbuk, ditendang dan dipijak yang dikatakan sebagai kaedah rawatan untuk membuang saka di dalam badannya.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui di rumahnya di Taman Puchong Intan, berkata kaedah rawatan itu dijalankan di rumah mereka sejak Selasa lalu.

Menurutnya, sepanjang rawatan, mangsa tidak mengadu sakit sebaliknya hanya mengikuti kaedah rawatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pada hari ketiga rawatan dijalankan, mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Serdang.

“Kami hanya mengetahui mangsa sudah meninggal dunia sebaik dimaklumkan oleh kakaknya yang membawanya ke Jabatan Kecemasan Hospital Serdang, pagi semalam.

“Malah, petang semalam juga jenazah mangsa dibawa pulang ke Changkat Tin, Batu Gajah, Perak serta dikebumikan di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari ketika dihubungi berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menjalani rawatan tradisional untuk membuang saka berkenaan sejak Selasa lalu.

Namun, katanya, mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Serdang (HS) selepas tidak sedarkan diri, semalam.

“Sebaik berada di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang, mangsa disahkan meninggal dunia dan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah pada tubuhnya.

“Menerusi hasil bedah siasat itu, pegawai perubatan membuat laporan polis berikutan wujudnya unsur kecederaan yang disengajakan yang menjadi punca kematian lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasatan mendapati, mangsa dipukul oleh tiga lelaki serta dua wanita berkenaan.

Katanya, sepanjang tiga hari menerima rawatan, mangsa ditumbuk, ditendang serta dipijak pada bahagian perut dan badan sebagai kaedah membuang saka.

“Bertindak atas laporan itu, kita menahan empat lelaki termasuk abang ipar mangsa dan dua wanita yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Semua suspek yang ditahan semalam direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 9:33pm
d