utama

Bonda 'ditembak' Dr M, Pertubuhan Ikram - Nik Mohamad Abduh

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

“INI adalah tembakan kedua yang terpaksa ditanggung oleh bonda selepas ‘tembakan’ pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad lebih 15 tahun lalu apabila seorang anaknya ditangkap di bawah ISA.

“Bonda kini memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya yang dalam akibat ‘tembakan’ yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lalu dan dua hari lalu, ‘tembakan’ itu tepat singgah ke jantung bonda,” demikian kata anak kelima bekas Mursyidul Am PAS, Nik Mohamad Abduh dalam status Facebook terkininya hari ini.

Beliau yang juga calon PAS di kerusi Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini berkata, Dr Mahathir dan seorang lelaki bernama ‘Ikram’ (Pertubuhan Ikram Malaysia) bersama-sama bersatu bekerja keras meruntuhkan kerajaan Islam negeri Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

Kerana itu beliau mendedahkan, ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak membuat keputusan berkempen untuk calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka sekali gus memberi tamparan hebat kepada abangnya Nik Omar Nik Abdul Aziz yang mencetuskan kontroversi bertanding atas tiket PKR.

Katanya, ibunya juga akan berkempen di Parlimen Pengkalan Chepa bagi memastikan kemenangan PAS.

“Saya bagi pihak seluruh keluarga Al Aziziyah dengan ini, dengan penuh rasa dukacita yang amat sangat ingin memohon kemaafan kepada jentera PAS di seluruh negara dan juga seluruh rakyat Malaysia amnya, atas ‘kemalangan’ yang berlaku dua hari lalu dan ia sesuatu yang amat sukar.

“Bonda asalnya hanya mahu menumpukan kempennya di Parlimen Bachok atas faktor kesihatannya yang sedikit terbatas, selain mengukuhkan lagi pengenalannya bersama jentera PAS di daerah berkenaan.

“Namun disebabkan ada sedikit gangguan daripada keluarga kami terhadap PAS di DUN Chempaka khususnya, maka bonda memutuskan untuk turut bersama jentera muslimat PAS di sana.

Pada masa sama, Nik Mohamad Abduh berkata, sehingga kini abangnya yang juga anak kedua, belum pulang ke rumah ibunya dan beliau menasihati dan menyarankan calon DUN Chempaka itu merujuk kepada kisah agung seorang khalifah Islam yang sah dibai’ah oleh umat Islam selepas kematian Yazid bin Muawiyah.

Katanya, ibu adalah menara kehidupan dan jangan bicara soal ayah jika tiada wanita itu di sisi.

“Siapa ayahanda tanpa seorang bonda yang paling memahami pahit getir kehidupan seorang suami bergelar pejuang. Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina,” katanya

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 8:01pm
d