utama

'Masih rasa macam bermimpi'

Oleh HM Digital

Hampir empat tahun bercinta, akhirnya penyanyi Nita Hamzah, 38, sah bergelar isteri kepada Mohd Fareez Shamsul Bahari, 30, pada majlis penikahan di Selayang, Selangor, kelmarin.

Nita yang juga naib juara program realiti Malaysian Idol pada 2005 dan Mohd Fareez bertunang pada Ogos tahun lalu.

Pada mulanya mereka memilih bernikah pada Februari lalu, tetapi ditangguhkan kerana bapa mentua Nita mengerjakan umrah.

Nita atau nama sebenarnya Norhanita Hamzah ketika ditemui pada majlis berkenaan berkata, dia lega walaupun pernikahan ditangguh, mereka dapat juga melaksanakan perkara wajib sebelum tiba Ramadan pertengahan bulan ini.

“Syukur akhirnya segalanya selesai dan berjalan lancar walaupun dalam tempoh bertunang pelbagai dugaan datang.

“Maklumlah sebagai wanita, saya memang banyak berfikir sementara orang lelaki ini pula sikapnya tenang dan sentiasa relaks. Saya tak nafikan kadang-kadang ia menjadi punca perbalahan,” katanya.

Bagaimanapun, setiap kali timbul masalah, suaminya akan berusaha menenangkannya. Selain itu, Mohd Fareez juga sangat penyabar.

“Disebabkan itulah saya sentiasa berdoa supaya biarlah Fareez menjadi suami saya. Saya masih lagi terasa seperti bermimpi apabila hari ini (kelmarin) yang menikahi saya adalah Fareez. Ditambah pula dia jauh lebih muda berbanding saya.

“Namun, sebagai isteri apa yang saya tahu dan sangat yakin mengapa ditemukan dengan Fareez kerana dia lelaki sangat positif dan selalu menjadi inspirasi untuk melakukan perkara yang lebih baik berbanding diri saya sebelum ini,” katanya.

Menurut Nita, perkara paling penting kenapa dia bersetuju bernikah dengan Fareez kerana kesungguhan ditunjukkan suaminya sepanjang mereka bercinta.

“Fareez rajin bekerja dan dia juga yang meyakinkan saya supaya kami bernikah. Saya yakin Fareez boleh menjaga dan membimbing walaupun usianya lapan tahun lebih muda daripada saya. Dia seorang lelaki yang matang,” katanya.

Pasangan ini dinikahkan adik Nita, Mohd Hafiez Hazlan dengan disaksikan jurunikah yang juga Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Al Firdaus Bandar Baru Selayang, Mohd Nazri Md Nor dan lebih 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta teman rapat.

Pada majlis pernikahan itu, Nita turut menerima tujuh dulang hantaran termasuk mas kahwin RM300 dan wang hantaran RM10,000.

Ia dibalas sembilan dulang oleh pihak lelaki.

Syukur jika dikurniakan anak dalam waktu terdekat

Bercerita mengenai perancangan selepas berumah tangga, Nita berkata, tiada apa yang berubah dalam hidupnya cuma sekarang ini dia sudah mempunyai satu lagi tanggungjawab iaitu sebagai isteri yang wajib patuh kepada suami.

Ditanya mengenai anak, mereka juga tidak akan merancang.

“Saya bukanlah muda lagi. Kalau ikutkan suami, dia mahu 11 anak, tapi atas faktor usia perkara itu tidak mungkin untuk kami laksanakan.

“Namun, jika kami diberikan rezeki dan dikurniakan cahaya mata dalam waktu terdekat ini, kami amat bersyukur,” katanya.

Mengenai kerjaya nyanyian pula, Mohd Fareez tidak menghalang.

Nita berkata, suaminya turut memberi sokongan untuk dia meneruskan apa yang mahu dilakukan termasuk mempromosikan single terbaru menampilkan pengacara dan pelakon, Jaa Suzuran iaitu Hadirlah Cinta.

“Biarlah majlis ini selesai dahulu, kemudian barulah saya akan fikirkan untuk meneruskan kerjaya seni. Sekarang ini pun ada beberapa lagi perkara yang perlu diselesaikan sebelum Hadirlah Cinta boleh dipasarkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fareez berkata, usia bukanlah masalah untuk dia dan Nita hidup sebagai suami isteri.

“Saya memilih Nita kerana tahu sebagai isteri dia boleh mendisplinkan dan menjadikan saya lelaki lebih baik. Umur itu hanya sekadar nombor. Apa yang penting adalah pasangan melaksanakan tanggungjawab dengan baik untuk kebahagiaan bersama,” katanya. -Rudy Imran Shamsudin

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 3:34am
d