utama

[UPDATE] Mahkamah tolak 50 muka surat pembelaan Brown

Oleh Isma Ismail

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai peluang besar untuk menang kes saman fitnah terhadap laporan Sarawak Report yang sesi pendengaran dilakukan di Mahkamah Tinggi London.

Peguam Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ia berdasarkan keputusan mahkamah itu semalam, yang menolak kira-kira 50 muka surat daripada 55 muka surat penyataan pembelaan dibuat menerusi pengarang penerbitan itu Clare Rewcastle-Brown.

Sehubungan itu, beliau yakin 70 peratus saman fitnah terhadap penerbitan itu akan berpihak kepada Abdul Hadi.

“Kini hanya tinggal 30 peratus akan diputuskan di mahkamah apabila perbicaraan seterusnya dijadualkan pada April tahun depan.

“Peluang Tuan Guru Presiden PAS untuk menang saman ini, sekali gus membersihkan namanya sangat besar,” katanya ketika sidang media khas di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi di London memerintahkan defendan membayar £41,400 (RM227,700) kepada Abdul Hadi sebagai kos bayaran guaman yang perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari.

Mahkamah turut menetapkan perbicaraan selama 12 hari mulai April 2019.

Abdul Hadi memfailkan saman terhadap Sarawak Report yang mendakwanya menerima rasuah sebanyak RM90 juta.

Takiyuddin berkata, sesi pendengaran kes itu semalam berlangsung empat jam sebelum mahkamah dengan rasminya menolak sebahagian besar penyataan pembelaan yang dibuat Brown.

“Brown juga secara rasminya meninggalkan permohonannya untuk meminda pembelaan ‘kebenaran’ beliau bagi menggunakan rakaman audio satu kenyataan yang didakwa dibuat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz.

“Mahkamah turut menolak cubaan memperlewatkan dengan memohon perintah mahkamah supaya diadakan perbicaraan berasingan terhadap persoalan sama ada pembaca Sarawak Report memahami artikel berkaitan adalah merujuk kepada Datuk Seri Abdul Hadi.

“Pasukan peguam kita menolak cadangan defendan itu yang dilihat hanyalah sebagai cubaan untuk lari daripada membawa isu sebenar kes dalam perbicaraan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi dalam kenyataannya yang dibacakan Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu.

Menurutnya, ia menjadi kemenangan moral kepada pihaknya dan ahli PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Kes membabitkan tuduhan palsu portal Sarawak Report

 2 Mac 2018- FELDA menafikan artikel Sarawak Report pada 2 Mac lalu yang antara lain mendakwa kononnya FELDA pernah bersetuju untuk melabur dalam syarikat Ladylaw Securities Pte Ltd. Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad menegaskan tidak pernah meluluskan pelaburan dengan syarikat itu dan menyifatkan dakwaan itu adalah palsu.

2 Mac 2018- RHB Banking Group (RHB) menyangkal dakwaan Sarawak Report di Facebook dan laman web portal itu kerana ia tidak berasas dan tidak benar. Ia susulan tuduhan liar portal itu yang mendakwa sejumlah besar wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipindahkan pada Januari ke dalam akaun dolar RHB di bawah nama entiti kurang dikenali, TJJR Diversified (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat dimiliki seorang wanita yang juga pengarah, didakwa menyelaras sebuah projek hospital besar dengan disokong KWSP dan Kementerian Kesihatan.

28 Februari 2018- KWSP menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa KWSP tidak pernah mempunyai sebarang transaksi atau mempertimbangkan sebarang perjanjian dengan Limage Holdings SA, Limage Southwest Holdings, individu dikenali sebagai Mr Matrai atau sebarang pihak dinyatakan Sarawak Report. Tiada sebarang pemindahan bon atau dana seumpamanya kepada semua syarikat dinyatakan di atas seperti didakwa.

11 Jun 2017- Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membidas laporan Sarawak Report mendakwa peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik sebagai ketua pendakwa raya menerima bayaran RM9.5 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

9 Ogos 2016- PAS mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report kerana memfitnah dengan mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata laporan Sarawak Report itu mempunyai niat jahat dan mencemar nama baik parti dan dasar Islam menjadi teras kepada perjuangan PAS. Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown mengakui dakwaannya bahawa Perdana Menteri menawarkan RM90 juta kepada PAS hanya berdasarkan 'kecurigaan yang meluas'.

26 April 2016- Anak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memiliki perniagaan menjual dan membaiki senjata tidak pernah mendapat sebarang tender bekalan bahan berkenaan daripada kerajaan, mahupun pasukan polis. Perkara ini dinyatakan Khalid bagi mengulas dakwaan dalam portal berita Sarawak Report berhubung konflik kepentingan keluarga apabila anak dan saudaranya mempunyai syarikat berkenaan yang beroperasi di Nilai, Negeri Sembilan

23 Julai 2015- Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mengaku bertemu dengan Pengasas dan Pengarang The Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di beberapa lokasi. Tony berkata, beliau pernah bertemu Brown di Singapura, Indonesia dan London.

21 Julai 2015- Hampir 90 peratus kandungan laporan Sarawak Report mengenai 1MDB didakwa diubah suai oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Pendedahan itu dibuat bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi, menerusi video bahagian keduanya yang turut diperoleh BH.

20 Julai 2015- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat sementara laman sesawang Sarawak Report (http://www.sarawakreport.org) kerana boleh mengganggu-gugat kestabilan negara.

15 Julai 2015- Akhbar New Straits Times (NST) melaporkan kenyataan bekas pengarang Sarawak Report, Lester Melanyi mendakwa Clare Rewcastle Brown memalsukan beberapa dokumen untuk memfitnah 1MDB dan Datuk Seri Najib Razak, menerusi beberapa pendedahan portal berita itu. Editor terbabit, Lester Melanyi, dikatakan turut menamakan beberapa individu termasuk ahli politik terkemuka pembangkang sebagai antara terbabit dalam konspirasi menggulingkan kerajaan.

27 Jun 2015- Firma keselamatan siber, Protection Group International (PGI) mendedahkan bukti jelas kecurian data sulit PetroSaudi secara sistematik oleh bekas kakitangannya, Xavier Andre Justo. Siasatan mendapati sebahagian besar data itu kemudian diubah dan ditokok tambah sebelum disiarkan menerusi blog Sarawak Report.

29 Mei 2015- Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menafikan ada mengemukakan penyata bank palsu kepada Bank Negara Malaysia (BNM) seperti dilaporkan oleh portal berita, Sarawak Report. Beliau berkata, pihaknya menyedari portal berita itu terus menyiarkan maklumat palsu dan tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB. Katanya, dalam satu siaran terbaru, portal berkenaan menyatakan bahawa Arul Kanda mengemukakan penyata bank palsu kepada BNM bagi menunjukkan (1MDB) mempunyai (tunai dalam akaun BSI di Singapura).

1 Ogos 2015- Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata kertas pertuduhan disiarkan oleh Sarawak Report tidak pernah berada atau sampai di Pejabat Peguam Negara. Mohamed Apandi menegaskan, dakwaan berhubung kertas pertuduhan ini menunjukkan ada konspirasi untuk jatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menjadikan beliau sebagai penjenayah menggunakan kaedah termasuk memalsukan dan kebocoran jenayah.

3 September 2014- Ahli perniagaan Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib mendakwa pendedahan mengenai harta miliknya dalam kes mutaah bernilai RM100 juta yang difailkan bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid adalah konspirasi politik pembangkang, termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan memburukkan nama dan keluarganya. Turut dikaitkan dengan kes bermotif politik itu antaranya pengasas laman portal Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown.

Berita berkaitan

'Khabar positif' dari London'

'Insya-Allah, menang kes saman fitnah di London'

'Presiden PAS saman pengarang Sarawak Report'

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 4:40pm
d