utama

Impak KL Jamm

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Penganjuran festival muzik terbesar, KL Jamm di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 April tahun depan diharap dapat mengubah persepsi umum dan dunia mengenai industri muzik tempatan, sekali gus mendidik masyarakat untuk lebih terbuka terhadap artis yang mahu mengadakan persembahan di negara ini.

Pengerusi penganjuran KL Jamm yang juga Presiden KRU Music Sdn Bhd, Datuk Norman Abdul Halim berkata, penganjuran festival itu juga diharap dapat memberi kebaikan kepada semua pihak terutama kepada industri muzik tempatan dan serantau.

“Antara kebaikannya ialah mewujudkan platform dalam kalangan penggiat muzik tempatan, serantau dan artis antarabangsa mendekatkan dan memperkenalkan diri mereka kepada peminat muzik di sekitar Asia Pasifik.

“Kami juga akan membentuk dan mempromosikan usaha sama strategik dalam kalangan artis, pemuzik, komposer dan penerbit bersama syarikat rakaman, promoter konsert, penjual dan pembekal peralatan muzik.

“Bagi merancakkan jaringan yang cuba diwujudkan sepanjang KL Jamm berlangsung, wakil media tempatan dan antarabangsa turut memainkan peranan. Sebagai penganjur, kami bakal menjemput 50 media luar negara untuk sama-sama merasai KL Jamm yang bakal berlangsung,” katanya.

Menurut Norman, festival muzik itu juga diharap dapat mempromosi dan mengangkat Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia, moden, progresif dan berbudaya menggunakan muzik sebagai landasan.

Sepanjang tiga hari KL Jamm berlangsung, pelbagai simposium, bengkel dan perbincangan diadakan pada sebelah siang dan konsert berlangsung pada sebelah malam.

“Saya faham sekarang ini terlalu banyak cabaran untuk industri muzik tempatan dan penggiat muzik yang mahu mengadakan persembahan di sini. Jika kita berjaya menempatkan Kuala Lumpur menjadi hab muzik global, secara tidak langsung ia dapat membantu perkembangan ekonomi termasuk menarik pelancong ke sini.

“Menerusi penganjuran KL Jamm juga, pelbagai perkongsian ilmu dapat dilakukan menerusi simposium dan bengkel membabitkan muzik. Dalam jangka masa panjang ia mampu memberi impak positif sama ada di dalam dan luar negara,” katanya.

Norman berkata, konsert dan persembahan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu pada malam pertama ia menampilkan artis popular tempatan.

Pada malam kedua, KL Jamm menampilkan artis popular dari Asia dan artis popular antarabangsa akan tampil pada malam ketiga.

“Satu sidang media khas membabitkan barisan artis akan dilakukan sebaik ia sudah diputuskan. Lokasi konsert pula di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Selain itu, beberapa konsert berskala kecil genre muzik terpilih atau indie diadakan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Norman berkata, selaku penganjur, pihaknya berbesar hati apabila banyak pihak tampil untuk menaja program yang mahu dilaksanakan itu.

“Kami ada tempoh setahun untuk melaksanakan gerak kerja dan pihak kami sangat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dalam memastikan KL Jamm dapat direalisasikan,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 4:49am
d