utama

Percuma sebulan

Oleh Saadiah Ismail

Kuala Lumpur: Pembukaan stesen baru, Stesen Terminal Skypark yang mula beroperasi semalam dijangka menerima 3,250 penumpang dalam sehari yang ingin menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Perkhidmatan pertama disediakan seawal jam 5.30 pagi itu adalah dari stesen KL Sentral dan sambutan diterima begitu baik daripada penumpang yang ingin merasai pengalaman pertama mereka.

Menurut jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), tiga set tren dengan tiga gerabak disediakan dan beroperasi setiap hari yang akan memberi perkhidmatan 26 kali dari Stesen KL Sentral ke Terminal Skypark dan sebaliknya.

“Perkhidmatan ini membuat perjalanan ekspres dan berhenti di tiga stesen iaitu Stesen KL Sentral, Subang Jaya dan Terminal Skypark.

“Setiap tren pula boleh memuatkan 300 penumpang dengan 200 tempat duduk disediakan. Buat permulaan selama sebulan, orang ramai akan diberi peluang menaiki secara percuma sebelum mendapat kelulusan tambang daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Tumpuan utama perkhidmatan ini disediakan khusus kepada individu yang kerap menggunakan perkhidmatan penerbangan serta mereka yang bekerja di sekitar kawasan itu,” katanya.

Pembukaan stesen dan perkhidmatan tren disediakan itu adalah alternatif mod perjalanan melalui rel kepada orang ramai untuk ke Terminal Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang Jaya serta mereka yang tinggal dan bekerja di sekitar kawasan berkenaan.

Sebagai permulaan, perkhidmatan ini akan beroperasi dengan kekerapan 60 ke 180 minit hingga 31 Mei ini dan bermula 1 Jun ia akan beroperasi setiap 60 minit sekali.

Perkhidmatan pertama dari KL Sentral bermula jam 5.30 pagi dan terakhir ialah jam 9.25 malam manakala dari Terminal Skypark bermula jam 7.50 pagi dan berakhir 11.20 malam.

Sementara itu, penumpang, Zarina Ismail, 47, berkata, ini adalah pengalaman pertamanya merasai dari KL Sentral ke Subang Jaya memandangkan ia boleh menjadi alternatif perjalanan ke tempat kerja.

“Saya menetap di Subang Bistari dan bekerja di Petaling Jaya. Jadi saya rasa mungkin perkhidmatan Terminal Skypark ini boleh membantu menjimatkan masa dan duit minyak kereta kerana setiap hari saya perlu memandu untuk ke ke tempat kerja.

“Masa perkhidmatan tren ini juga sangat fleksibel dan saya boleh merancang perjalanan waktu kerja saya,” katanya.

Bagi, Siti Norlida Badiozaman, 32, pula memandangkan ini adalah perkhidmatan baru dari KTMB jadi beliau ingin merasai pengalaman bersama dengan keluarganya.

“Tempat duduk penumpang selesa dan urusan untuk mendapatkan tiket di awalnya juga mudah. Jadi saya berharap ia dapat memudahkan setiap orang yang ingin menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 6:20am
d