utama

'Rahsia cinta' Shiha bertahan 9 tahun...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Shiha Zikir menyifatkan kekasihnya yang dikenali sebagai Arul seorang yang bertanggungjawab, hormat orang tua dan 'open minded'.

Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 31, berkata sifat dimiliki Arul itu membolehkan hubungan mereka kekal bertahan hingga sekarang.

"Saya kenal dia pada penghujung 2009. Lamakan? Ramai cakap lamanya bertahan dengan dia. Tahu tidak kenapa boleh bertahan? Sebab dia bertanggungjawab, hormat orang tua, 'open minded' dan sangat memahami kerjaya saya.

"Paling menarik sekali syarat saya waktu mula berkenalan, saya cakap kalau ikhlas nak kawan dengan saya, kena terima walau ke mana saya bawa mak dan kena terima mak saya.

“Ini kerana kalau kahwin nanti pun saya tetap akan jaga mak sebab abah sudah meninggal.

"Lepas dengar syarat itu, dia cakap okey. Syukur selepas dengar jawapan berkenaan, Insya-Allah kalau kahwin nanti, saya akan menjaga orang tua Arul macam mana saya menjaga mak saya juga," tulisnya di laman Instagram miliknya.

Menerusi perkongsian dimuat naik sempena ulang tahun kelahiran kekasihnya ke-31 hari ini, Shiha turut menjelaskan mereka bercinta sebelum dirinya terbabit dalam bidang seni.

"Ramai orang ingat kami rapat selepas saya masuk industri. Sampai ada cakap kenapa saya bercinta dengan pengurus sendiri. Anda silap, kerana saya mengenalinya sebelum masuk dalam industri lagi.

"Arul bersama mak adalah orang yang tunggu saya di pintu pagar TV3 dari pagi hingga tengah malam sewaktu uji bakat Mentor 2011.

"Dia pendorong dalam karier seni saya selain kedua ibu bapa dan keluarga. Banyak masa dan tenaga yang dia korban demi nak tengok saya capai apa yang diingini," katanya.

Shiha berkata, Arul bukan sahaja kekasihnya malah turut bertindak sebagai pengurus selepas mengambil keputusan bergerak sendiri.

"Selepas tamat kontrak dengan syarikat rakaman dan pengurusan, saya ambil keputusan bergerak secara bebas dan dia secara sukarela tolong menguruskan kerjaya saya meskipun dia ada kerja sendiri.

"Dulu sebelum tamat kontrak memang dia jarang ikut sebab saya ada pengurus sendiri. Sekarang, paling buat saya terharu sebab dia kena tolong buat kerja pengurus pula," katanya.

Bersempena hari jadi kekasihnya, Shiha menghadiahkan 'clutch' jenama Gucci.

"Terima kasih sayangku Shiha Zikir untuk hadiah ini. Dapat hadiah Gucci tahun ni. Saya cintakan awak.

"Hadiah yang paling berharga adalah saya dapat hati awak, dari sembilan tahu lepas sehingga sekarang. Insya-Allah kekal hingga ke akhir nafas saya," tulis Arul di laman Instagram miliknya.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 1:37pm
d