utama

Misi OKU takluk kem induk Everest

Oleh Wan Jailani Razak

PENDAKI orang kurang upaya (OKU) yang kudung kedua-dua kaki, Azrulkhan Hasrullah atau Adam hari ini memulakan misi untuk menjejakkan kaki ke kem induk Everest, pada ketinggian 5,350 meter dari aras laut.

Misi yang akan mengambil masa antara 16 hingga 18 hari itu diketuai oleh Aliff Abdullah sebagai ketua perubatan dan Irwan Yusof, pengurus ekspedisi bersama jurulatih Adam, Ardi Dullam.

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin selaku penaja ekspedisi Adam berkata, Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) sudah menjalankan ujian untuk melihat tahap persediaan dan kecergasan Adam.

Katanya, selepas ujian berkenaan, beliau berpuas hati dan yakin Adam bersedia untuk menggalas impiannya ke kem induk Everest.

“KE7B akan memantau setiap hari tahap kesihatan Adam, supaya beliau sentiasa sihat dan cergas untuk memulakan pendakian.

“Kita juga bersedia dari segi keselamatan dan apa juga kemungkinan yang berlaku. Yang penting (Adam) selamat,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Adam memulakan pendakian dari Kathmandu, jam 8 pagi waktu Nepal (jam 10.15 pagi waktu Malaysia), dengan mengengsot dan menggunakan kedua-dua tangannya.

Qobin berkata, berjaya atau gagal misi Adam adalah perkara kedua kerana yang lebih penting ialah keselamatan nyawa beliau.

“Apa pun peluang dan ruang sudah pun saya berikan. Semoga dia dan pasukan selamat mendaki dan selamat menjejakkan kaki di kem induk Everest nanti. Sama-sama kita doakan,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 1:59pm
d