utama

'Guna gambar saya hina Islam melampau' - Aweera

Oleh Syafil Syazwan Jefri

VOKALIS band Prime Domestic, Aweera, 27, membuat laporan polis, pagi tadi mengenai akaun Facebook palsu menggunakan gambarnya serta kata-kata menghina agama Islam.

Menurut Aweera, ianya bukan kali pertama gambarnya digunakan oleh akaun palsu di media sosial, namun, kali ini ia keterlaluan.

“Sebelum ini, ada beberapa akaun palsu dibuka menggunakan nama dan gambar saya. Tapi, selepas saya menghubungi pemilik akaun itu, mereka memohon maaf dan menutupnya.

“Kali ini, ceritanya berbeza kerana melampaui batas apabila menghina agama Islam dan Rasulullah SAW dan tindakan itu sememangnya mencemar nama saya,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Aweera atau nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham berkata, dia membuat laporan polis selepas mendapat nasihat daripada beberapa rakan dan keluarga.

“Saya mendapat tahu mengenai kewujudan akaun palsu itu semalam selepas dimaklumkan oleh seorang peminat.

“Selepas selesai persembahan sekitar jam 1 pagi, saya berbincang dengan rakan artis yang ada bersama antaranya Fiq Halim (Mentor). Malah keluarga juga menyarankan saya supaya membuat laporan polis.

“Lebih mengejutkan, akaun itu aktif sejak Jun tahun lalu. Saya cuba menghantar mesej ke akaun itu menerusi Facebook namun beberapa minit kemudian ia terus dinyahaktifkan,” katanya.

Katanya lagi, pihak polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan siapa dalang di sebalik akaun palsu itu.

Ditanya sama ada insiden itu berunsur sabotaj atau tidak, Aweera sendiri tidak pasti.

“Saya bukanlah popular mana, tapi kalau benar ia berunsur sabotaj, saya sendiri pun hairanlah kerana masih ada pihak yang dengki.

“Tapi, saya mohon supaya orang-orang begini akan berhenti melakukan aktiviti tidak bermoral seperti ini.

“Saya faham. Gambar dan nama artis selalunya digunakan untuk pemasaran dan sebagainya tapi kalau ia bermain dengan agama itu sudah keterlaluan dan tidak masuk akal,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 7:17pm
d