utama

Impian Rock Seven

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun ditubuhkan pada 2010, kumpulan baru yang dikenali sebagai Rock Seven hanya aktif bermula 2016.

Rock Seven dianggotai pemuzik trio iaitu Zairul Asyraf Zafruddin, 23, atau Ayap sebagai penyanyi, Ahmad Ruzaini Zulkafli, 32 (Amy, pemain gitar) dan Ahmad Yamani Mohamad Unif, 40, (Man, dram).

Berasal dari Ipoh, Rock Seven kini tampil mempertaruhkan single sulung, Bidadari Hati hasil ciptaan mereka sendiri dan lirik oleh Yoi yang bergenre pop rock.

Ayap berkata, lebih dua tahun aktif dalam bidang muzik, Rock Seven lebih dulu memahat nama dan bakat mereka di Ipoh hingga dikenali di sana.

“Selepas merakam single Bidadari Hati, kami mengharapkan perjuangan muzik ini lebih bersinar di ibu kota.

“Lagu ini dirakamkan enam bulan lalu dan menjadi harapan Rock Seven mendapat perhatian peminat muzik pop rock dan mesra radio.

“Jika ada peluang untuk Bidadari Hati dipilih sebagai lagu tema drama pun, kami sangat berbesar hati untuk beri kerjasama,” katanya.

Bernaung di bawah syarikat AFM Records, Ayap berkata, Rock Seven juga menjadikan kumpulan Hyper Act, Estranged dan Akim & The Majistret sebagai inspirasi mereka.

Mengulas mengenai hanya bergerak secara trio, Man selaku ketua kumpulan berkata, mereka kini memang selesa bertiga.

“Saya satu-satunya anggota asal Rock Seven sejak ditubuhkan. Amy menyertai pada 2015 dan Ayap pula 2016,” katanya.

Bagi Amy, apa yang paling utama mereka saling menghormati dan mudah berbincang dalam segala hal.

Menurut Amy, Rock Seven kini mengharapkan peluang semoga muzik diperjuangkan mendapat perhatian.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 3:43am
d