utama

RM7,000 untuk Yafits

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Prihatin dengan kepayahan ibu bapa, Muhammad Yafits Haiqal Abd Rasid yang mengalami masalah jantung kembar siam, Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersetuju menyalurkan bantuan berjumlah RM7,051.50 kepada keluarga itu.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, bantuan disalurkan bagi membiayai kos keperluan khas bayi berusia 11 bulan itu seperti pembelian susu dan makanan tambahan.

Beliau berkata, hasil siasatan ketika perjumpaan dan ibu bapa Muhammad Yafits Haiqal, baru-baru ini pihaknya setuju membiayai kos keperluan khas bayi itu hingga Disember depan.

“Kami juga akan pertimbangkan bantuan lain yang sesuai dengan keperluan bayi itu jika ibu bapa Muhammad Yafits Haiqal membuat permohonan dan mereka layak menjadi penerima.

“LZS berharap dengan bantuan zakat yang akan disalurkan ini dapat membantu meringankan beban keluarga Muhammad Yafits Haiqal,” katanya.

Pada 28 Mac lalu, Harian Metro menyiarkan ketabahan Suzana Abdullah, 33, dan suaminya Abd Rasid Atan, 35, yang tidak pernah mengalah demi memastikan kelangsungan hidup anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu yang mempunyai jantung kembar siam dextrocardia selain hanya satu injap berfungsi.

Perkembangan Muhammad Yafits Haiqal tidak seperti bayi seusianya apabila fizikalnya terbantut dan tidak mampu meniarap serta, cepat kepenatan jika terlalu aktif.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 7:46am
d