utama

Empat lagi didakwa jadi ahli "Geng 08"

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

EMPAT lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang "Geng 08", sejak tiga tahun lalu.

M Indran, 32; S Sathiaseelan, 28; M Arivanathan, 24; dan N Saravanan; 33; hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 08’, antara 1 Januari 2015 dan 8 April lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut subseksyen 130V (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah subseksyen sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor, manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Mereka juga tidak dibenarkan jaminan kerana ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada 23 April lalu, 18 lelaki dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan serupa.

Media sebelum ini melaporkan, pihak polis menahan ahli Geng 08 dalam Operasi Capital Kuala Lumpur (Op Capital KL) 2018 dari 28 hingga 30 Mac lalu.

Polis juga sedang memburu beberapa lagi ahli kumpulan itu yang aktif terbabit jenayah terancang di sekitar ibu negara sejak tiga tahun lalu.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 2:11pm
d