utama

'Mr Grey' semakin okay...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON baru yang sedang meningkat naik menerusi drama ‘Mr Grey’, Fendy Bakry berterima kasih kepada semua peminat yang sentiasa mendoakan kesihatannya.

Fendy atau Mohd Affandi Nor Bakri, 30, berkata, dia berharap apa dilalui sekarang ada hikmah dan rahmat di sebaliknya.

"Terima kasih buat semua yang mendoakan kesihatan dan menyokong kerjaya saya tanpa jemu.

"Nilai kasih sayang anda semua saya simpan sebaiknya. Moga ada hikmah dan rahmat di sebalik semua ini," tulisnya di Instagram Story.

Fendy yang juga finalis pencarian Hero Remaja 2011/2012 bersama Fattah Amin, Syafiq Kyle dan Saharul Ridzwan turut berkongsi sungguh hebat kasih sayang Allah buat hambanya.

"Sungguh hebat kasih sayang Allah buat hambanya. Tak pernah meminta dan dipinta, tapi Allah sentiasa memberikan pada yang dikehendaki-Nya," katanya.

Sementara itu, pengurus Fendy, Fadzil Zahari ketika dihubungi memaklumkan keadaan kesihatan pelakon itu beransur baik.

"Saya dapat berhubung dengan Fendy semalam dan memaklumkan kesihatannya semakin okay. Cuma buat masa sekarang dia masih dirawat di hospital.

"Saya bagi pihak Fendy meminta maaf kepada semua rakan media yang cuba menghubunginya namun tidak berjawab. Sepanjang tiga minggu lalu, dia berada dalam keadaan lemah dan sukar untuk menjawab sebarang panggilan.

"Buat masa ini, telefon bimbit milik Fendy juag dipegang oleh kakaknya. Jika boleh, beri dia ruang buat sementara waktu untuk berehat," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Fendy mengalami sakit misteri sejak awal bulan ini.

Fendy juga dikatakan mengalami sakit kepala serta badan lemah hingga tidak mampu berbuat apa-apa.

Malah, dia dilaporkan terpaksa pulang ke kampung halaman di Perlis menjalani rawatan alternatif.

Fendy dilapor pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami penyakit sama, awal Mac lalu.

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 12:16pm
d