utama

'Syamil anugerah terindah'

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

“MUNGKIN Allah mahu menegur dengan cara menghantar Syamil ke dunia ini supaya kami lebih tekun beribadat kepada-Nya,” kata Mohd Nazri Mansor, 35.

Mohd Nazri adalah bapa kepada pesakit kanser otak tahap empat yang meninggal dunia di Hospital Setiu. jam 1.34 tengah hari semalam.

Syamil Nur Iman Mohd Nazri, 10, yang juga Naib Johan Hafazan peringkat negeri Terengganu 2017 kategori sekolah rendah, sebelum ini, bertarung nyawa melawan penyakit berkenaan, sejak Januari lalu.

Mohd Nazri yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya berkata, anaknya yang dipanggil Syamil itu dimasukkan ke wad Hospital Setiu, pada 1 Mei lalu.

Katanya, ia selepas anak sulung daripada empat beradik dan anak lelaki tunggal itu mengalami sesak nafas.

“Keadaan kesihatan Syamil semakin merosot sepanjang April apabila dua kali dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan dua kali ke Hospital Setiu,” katanya yang ditemui di Kampung Banggol, di Permaisuri, hari ini.

Katanya, keluarga amat terkesan dengan pemergian Syamil kerana anaknya itu seorang yang amat taat dan berdisiplin.

Malah, anaknya itu sangat menjaga solat sejak berusia tujuh tahun.

“Saya kerap membawanya ke masjid sejak berusia empat tahun dan dia sering menjadi imam pada adik-adiknya setiap kali bersolat di rumah.

“Kadangkala, dia yang ingatkan saya supaya segera melaksanakan solat apabila masuk waktu walaupun ketika itu saya ingin berehat sebentar selepas pulang dari kerja.

“Syamil juga sering mengingatkan adiknya supaya menutup aurat dengan sempurna apabila ada tetamu berkunjung ke rumah walaupun adiknya masih kecil,” katanya.

Menurut ibu Syamil, Zulaikha Draman, 35, sebelum ini, ada individu mahu menaja suami dan Syamil menunaikan umrah bagi memenuhi impian anaknya ke Makkah tetapi terpaksa ditolak kerana kesihatan arwah ketika itu masih belum pulih.

“Sehari sebelum dimasukkan ke wad pada Selasa lalu, dia masih boleh memanggil ummi dan abi serta meminta sesuatu dengan menggunakan kad huruf untuk memudahkan kami faham.

“Namun, saya sudah berasa lain apabila malam pertama di wad, Syamil kelihatan lemah sewaktu bersolat secara baring dan tidak mampu menarik sebelah tangan lagi seperti biasa. Dia cuba angkat tangan waktu solat tetapi jadi lembik.

“Dia anak yang sangat mementingkan solat walaupun dalam keadaan terlantar sakit. Paling saya sebak pagi esoknya sewaktu azan Subuh, dia seperti minta untuk bersolat tetapi keadaannya terlalu lemah dan saya minta supaya qada solat, selepas itu baru dia diam,” katanya.

Zulaikha yang juga pensyarah kejururawatan di Kolej Universiti Bestari (UCB) berkata, ketika Syamil masih sihat, anaknya pernah menangis sepenuh hati sekiranya terlepas waktu solat terutamanya Subuh.

Katanya, anaknya itu juga mula menghafal surah ketika berusia empat tahun dan berjaya menghafal satu juzuk ketika enam tahun.

“Walaupun dalam keadaan sakit, dia masih mampu menghafal dengan menyambung ayat yang suami bacakan contohnya surah Yasin biarpun sebutan tidak lagi jelas kesan daripada kanser tetapi ingatannya tetap kuat.

“Beberapa minggu kebelakangan ini dia hanya bergantung kepada susu kerana sudah tidak mampu makan seperti biasa dan sering muntah,” katanya.

Syamil dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Permaisuri, jam 6 petang semalam.

Berita berkaitan

“Budak kanser otak teringin ke Makkah

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 5:11pm
d